Dia yang dikenali sebagai Rasha melakonkan watak "Umm al-Abdo Halabiya", seorang suri rumah tangga yang terpaksa tinggal di dalam bandar itu yang bergelora dengan keganasan selama tiga tahun.
Di dalam program 30 episod itu, kesemua watak-wataknya dibawakan oleh kanak-kanak yang memainkan peranan sebagai orang dewasa dan ia telah ditontoni oleh puluhan ribu pengguna Internet.
Video dari saluran berita BBC Trending ini memaparkan lakonan Rasha yang membawa watak sebagai 'Umm Abdo al-Halabiya'
Antara babak yang mendapat perhatian penonton adalah babak ketika Umm Abdo berdebat dengan Presiden Syria, Bashar al-Assad dan mengkritik kumpulan pemberontak yang cuba untuk menggulingkan Bashar.
Walaupun masih muda, Rasha menunjukkan kematangannya dengan meniru gaya wanita tradisional Syria yang lazimnya kehidupan mereka banyak berkisar tentang gosip.
Kanak-kanak berpipi tembam dan berambut perang itu berlakon bersama-sama kanak-kanak lain yang memainkan watak-watak seperti pemberontak dan jiran.
Di dalam satu episod, Umm Abdo dilihat memakai pakaian tradisional dishdasha (jubah) dan berbual di telefon dengan adiknya, yang tinggal di kawasan kejiranan yang dikuasai rejim di Aleppo di mana masalah ketiadaan bekalan air semakin menjadi-jadi.
"Adakah anda juga mencuci pakaian dengan menggunakan tangan?" dia bertanya, sebelum menambah: "Saya sangkakan pengikut setia seperti kamu seorang yang manja!”.
Dalam episod yang lain, Umm Abdo menjemput dua wanita ke rumahnya, di mana salah seorang daripada mereka sedang mencari jodoh buat anaknya, seorang pejuang pemberontakan.
Pernikahan itu bagaimanapun tidak diteruskan kerana tuntutan mas kawin adalah dalam matawang dolar atau emas oleh Umm Abdo.
Pengarah siri itu, Bashar Hadi memberitahu AFP dia memilih untuk membuat persembahan secara santai tentang kehidupan tragik di Aleppo kerana ia akan terus menusuk ke hati penonton.
Dia berkata video-video terbabit adalah untuk menghilangkan kesedihan penduduk dan membuat penonton tersenyum walaupun perang saudara di Syria telah meragut lebih 180,000 nyawa.
Bandar Aleppo telah berpecah kepada kawasan kerajaan dan pemberontak sejak serangan besar-besaran dilancarkan oleh pemberontak pada bulan Julai 2012.
Bashar berkata dia memutuskan untuk mendapatkan pelakon kanak-kanak untuk memainkan watak di dalam programnya untuk memberi gambaran yang lebih jelas mengenai kesengsaraan rakyat Syria.
Beliau berkata, Rasha "mewakili generasi anak-anak yang terperangkap dalam peperangan, tetapi akhirnya menjadi satu simbol perjuangan".
Penggambaran siri itu juga sering terganggu dengan kejadian tembak-menembak yang berlaku di sekitar kawasan penggambaran, yang ada ketikanya memaksa penggambaran dihentikan seketika.
Program ini mula menjadi popular pada bulan Ramadan lalu dan krew penggambaran kini dalam perbincangan untuk menyiarkannya di saluran televisyen Arab.
Namun, siri itu tidak memaparkan kisah-kisah dan watak komedi semata-mata.
Ada beberapa adegan yang menyayat hati, terutama ketika Umm Abdo berjalan merentasi kawasan tapak perkuburan mereka yang "mati syahid" dalam peperangan.
"Saya impikan sebuah negara yang aman, kanak-kanak akan kembali ke tanahair milik mereka dan tiada istilah ‘pelarian’," akhiri Bashar.