GALLE (SRI LANKA): Sebuah kapal selam Amerika Syarikat (AS) menenggelamkan sebuah kapal perang Iran di luar pantai selatan Sri Lanka, kata Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth pada Rabu, lapor Reuters.
Menteri Luar Sri Lanka, Vijitha Herath sebelum ini memberitahu Parlimen bahawa seramai 180 orang berada di atas kapal Iran itu, yang dikenal pasti sebagai IRINS Dena.
Advertisement
Sebuah kapal bernama IRINS Dena disenaraikan sebagai menyertai latihan tentera laut yang diadakan di Teluk Bengal dari 18 hingga 25 Februari, menurut laman sesawang latihan berkenaan.
Jurucakap tentera laut Sri Lanka, Komander Buddhika Sampath berkata, beberapa mayat telah ditemukan di laut di kawasan kejadian.
Seramai 32 orang diselamatkan oleh tentera laut Sri Lanka dan sedang menerima rawatan di hospital di bandar pelabuhan selatan Galle.
Beliau berkata, tentera laut menerima panggilan kecemasan daripada sebuah kapal Iran dan memaklumkan kepada Tentera Udara Sri Lanka dan kedua-duanya melancarkan operasi mencari dan menyelamat.
Bot penyelamat yang tiba di lokasi kejadian tidak melihat kapal berkenaan dan hanya melihat kesan tumpahan minyak, kata Sampath sambil menambah bahawa insiden itu berlaku di luar perairan Sri Lanka namun Colombo tetap komited untuk memberikan bantuan.
Menurut beliau, pasukan keselamatan Sri Lanka kini memberi tumpuan kepada usaha menyelamatkan mangsa di atas kapal Iran itu dan akan menyiasat punca kejadian kemudian.
Pasukan keselamatan Sri Lanka juga tidak melihat sebarang kapal atau pesawat lain di kawasan kejadian, tambah beliau.
"Kami berharap dapat menyelamatkan lebih ramai orang dan akan meneruskan operasi sehingga kami benar-benar pasti," kata Sampath.
-- BERNAMA-REUTERS