Skip to main content

Dunia

Kawasan panas di Indonesia masih tinggi, dengan jerebu berterusan di Malaysia

Kebakaran hutan dan tanah di Indonesia berterusan, dengan 1,201 kawasan panas direkodkan di seluruh negara pada Rabu, berkurangan sebanyak 158 berbanding hari sebelumnya. - Gambar fail/REUTERS/Abriansyah
Kebakaran hutan dan tanah di Indonesia berterusan, dengan 1,201 kawasan panas direkodkan di seluruh negara pada Rabu, berkurangan sebanyak 158 berbanding hari sebelumnya. - Gambar fail/REUTERS/Abriansyah

Advertisement

JAKARTA: Kebakaran hutan dan tanah di Indonesia berterusan, dengan 1,201 kawasan panas direkodkan di seluruh negara pada Rabu, berkurangan sebanyak 158 berbanding hari sebelumnya.

Kementerian Perhutanan memaklumkan Kalimantan Tengah merekodkan 182 kawasan panas, tertinggi dalam kalangan enam wilayah keutamaan, diikuti Sumatera Selatan (71), Kalimantan Barat (34), Jambi (21) dan Kalimantan Selatan (18), manakala Riau tidak merekodkan sebarang kawasan panas.

"Kerajaan mengekalkan 61 unit udara dalam keadaan bersiap sedia, merangkumi 17 untuk operasi rondaan dan pembenihan awan serta 44 bagi pengeboman air, manakala operasi darat, pemadaman kebakaran, penghalang api, serta pembasahan dan penyejukan tanah gambut diteruskan bagi mengelakkan kebakaran daripada tercetus semula," menurut kementerian itu dalam satu hantaran di media sosial pada Rabu.

Asap tebal daripada kebakaran yang berterusan menyebabkan jerebu rentas sempadan menjejaskan negara jiran, termasuk Malaysia apabila 35 kawasan merekodkan tahap Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat 10 pagi Rabu, sekali gus menyebabkan sekolah di Johor ditutup selama dua hari berikutan kualiti udara tidak sihat.

Sementara itu, Menteri Perhutanan Indonesia Raja Juli Antoni berkata kementeriannya komited untuk meningkatkan secara berperingkat kekuatan polis hutan negara itu daripada kira-kira 4,500 anggota ketika ini kepada 70,000 dalam tempoh tiga hingga empat tahun, seperti yang diumumkan oleh Presiden Prabowo Subianto.

"Bagi kami di Kementerian Perhutanan, pengukuhan polis hutan adalah sangat penting untuk meningkatkan pemantauan dan perlindungan kawasan hutan, termasuk daripada ancaman pencerobohan dan kebakaran hutan," kata Raja Juli dalam satu hantaran di Instagram pada Rabu.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement