Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Singapura susut 13.2 peratus tahun ke tahun pada suku kedua tahun ini, naik daripada penguncupan 0.3 peratus pada suku tahun sebelumnya.

Penurunan KDNK itu berikutan langkah-langkah pemutus rantaian (CB) selama lapan minggu yang dilaksanakan dari 7 April untuk mengurangkan penularan COVID-19 di Singapura, selain permintaan luaran yang rendah dalam persekitaran ekonomi global yang merosot disebabkan pandemik tersebut.

Pada asas tahunan bermusim diselaraskan suku ke suku, ekonomi turun 13.1 peratus, lebih tinggi daripada susut 0.8 peratus pada suku pertama.

Ini menurut Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) republik itu yang mengeluarkan Prestasi Ekonomi pada Suku Kedua 2020 di sini hari ini.

Kementerian itu mengurangkan julat unjuran pertumbuhan KDNK Singapura bagi 2020 kepada "-7.0 hingga -5.0 peratus", daripada "-7.0 hingga -4.0 peratus".

Dari segi sektor, MTI berkata sektor pembuatan susut 0.7 peratus tahun ke tahun, merosot daripada pertumbuhan 7.9 peratus pada suku tahun sebelumnya.

Pengeluaran pembuatan dijejaskan oleh kemerosotan pengeluaran dalam kluster kejuruteraan pengangkutan, pembuatan am dan kimia, katanya.

Dalam pada itu, kementerian itu berkata pengeluaran dalam kluster pembuatan bioperubatan, elektronik dan kejuruteraan meningkat.

Kluster elektronik dan kejuruteraan disokong oleh permintaan yang lebih baik daripada jangkaan untuk semikonduktor daripada pasaran 5G, pusat data dan perkhidmatan awan dan peralatan semikonduktor daripada faundri utama.

Sementara itu, sektor pembinaan susut 59.3 peratus tahun ke tahun, merosot daripada penguncupan 1.2 peratus pada suku tahun sebelumnya.

"Ini kerana hampir semua aktiviti pembinaan terhenti semasa tempoh CB," katanya.

Syarikat pembinaan turut terjejas oleh gangguan dari segi tenaga kerja berikutan langkah-langkah tambahan untuk membendung penularan virus tersebut, termasuk sekatan pergerakan di asrama pekerja asing, katanya.

Sektor lain iaitu perdagangan borong dan runcit; pengangkutan dan penyimpanan; perkhidmatan penginapan dan makanan; sektor maklumat dan komunikasi; perkhidmatan perniagaan; dan "industri perkhidmatan lain"; susut antara 41.4 peratus dan 0.5 peratus, tahun ke tahun.

Bagaimanapun, sektor kewangan dan insurans naik 3.4 peratus tahun ke tahun, sederhana daripada pertumbuhan 8.3 peratus pada suku tahun sebelumnya.

Mengenai pengurangan julat unjuran KDNK bagi 2020, MTI berkata ia mengambil kira persekitaran ekonomi global dan domestik, selain prestasi ekonomi Singapura pada separuh pertama tahun ini.

"Terdapat ketidaktentuan yang ketara tentang bagaimana situasi COVID-19 akan memberi kesan pada suku tahun akan datang dan pada masa sama, trajektori pemulihan ekonomi global dan domestik," katanya.

-- BERNAMA