"Ketika ini mungkin merupakan situasi kemanusiaan terburuk yang pernah kita lihat sepanjang perang di Gaza," kata jurucakap Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA), Jens Laerke, pada taklimat di Geneva sebagai menjawab pertanyaan Anadolu.
Laerke menegaskan keadaan genting yang dihadapi orang awam di Gaza, memandangkan tiada bantuan kemanusiaan dibenarkan masuk ke wilayah itu selama lebih 50 hari - manakala barangan komersial telah disekat lebih lama lagi.
"Anda boleh lihat kecenderungan yang jelas ke arah bencana menyeluruh," katanya.
Sejak 2 Mac, Israel telah menutup lintasan ke Gaza, menyekat kemasukan bekalan penting ke wilayah itu walaupun terdapat pelbagai laporan kebuluran di kawasan yang musnah akibat perang tersebut. Tentera Israel menyambung semula serangannya ke atas Gaza pada 18 Mac, sekali gus memecahkan perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan yang dicapai pada 19 Jan.
Israel telah membunuh lebih 51,200 penduduk Palestin di Gaza sejak Oktober 2023, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Pada November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya Yoav Gallant atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel juga berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa berhubung peperangannya di wilayah itu.
-- BERNAMA
