BEIJING: Platform penstriman China termasuk Tencent Video dan iQiyi telah menurunkan semua kandungan video dan kandungan melibatkan aktor Kanada, Keanu Reeves selepas dia terlibat dalam sebuah konsert berkaitan Tibet yang dianjur pertubuhan yang diasaskan pemimpin spiritual, Dalai Lama.

Reuters melaporkan, antara filem popular Reeves, seperti francais The Matrix, Speed dan John Wick, menjadi mangsa larangan siaran buat masa ini.

Dilaporkan yang terawal oleh Los Angeles Times pada Khamis, ‘kehilangan’ kandungan di platorm Tencent Video itu melibatkan sekurang-kurangnya 19 filem lakonannya.

Sementara kandungan yang berkaitan dengan filem Matrix dan beberapa hasil kerja Reeves yang lain masih boleh dicari di WeChat, carian bagi nama Reeves dan terjemahan bahasa Cina tidak menunjukkan sebarang hasil.

iQiyi dan Tencent Holdings, syarikat induk yang memiliki Tencent Video dan WeChat, tidak memberi maklum balas tentang perkara itu, begitu juga tiada respons daripada wakil bagi pihak Reeves.

Pada Januari lalu, Reeves menerima kritikan hebat dari pengguna media sosial China, yang antara lain menggesa tindakan boikot ke atasnya, selepas selebriti itu mengumumkan bahawa akan menghadiri konsert anjuran Tibet House US, iaitu sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang berpangkalan di New York, dan diasaskan Dalai Lama.

Reeves menyertai konsert itu yang disiarkan secara maya sebagai mematuhi ketetapan sewaktu pandemik COVID-19.

Beijing telah lama menuduh Dalai Lama, yang kini dalam buangan di India, sebagai mempromosi fahaman pemisahan bagi wilayah Tibet. China sebaliknya mengiktiraf Panchen Lama, yang disokong Parti Komunis, sebagai pemimpin keagamaan tertinggi bagi Tibet.