VIENTIANE: Laos menjadi tuan rumah Mesyuarat Jawatankuasa Kecil Maklumat (COCI-SCI) Ke-27 di bawah Jawatankuasa ASEAN mengenai Kebudayaan dan Maklumat (ASEAN COCI), yang menghimpunkan wakil negara anggota ASEAN dan Sekretariat ASEAN bagi memperkukuh kerjasama serantau dalam bidang maklumat dan media, lapor Xinhua.
Mesyuarat yang berlangsung di ibu negara Laos, Vientiane dari Isnin hingga Selasa itu menilai kerjasama dalam sektor maklumat serta membincangkan inisiatif masa depan dan hala tuju kerjasama media ASEAN, menurut laporan akhbar Vientiane Mai pada Isnin.
Dalam ucapannya, anggota Jawatankuasa Pusat Parti Revolusi Rakyat Lao (LPRP) merangkap Timbalan Ketua Suruhanjaya Penerangan dan Pendidikan Jawatankuasa Pusat, Vansy Kuamua, mengalu-alukan para perwakilan serta menekankan peranan jawatankuasa kecil itu dalam memperkukuh komunikasi dan persefahaman bersama dalam kalangan negara anggota ASEAN, selain menyumbang kepada pembentukan identiti ASEAN yang dikongsi bersama.
Mesyuarat itu menyeru supaya kerjasama serantau dalam bidang maklumat dan media diperkukuh ketika teknologi digital terus mengubah landskap media.
Mesyuarat itu turut mengetengahkan peranan Jawatankuasa Kecil Maklumat sebagai platform bagi negara anggota ASEAN untuk memperdalam persefahaman bersama, memperkukuh suara kolektif serta menangani cabaran baharu, termasuk maklumat palsu dan media sintetik.
Mesyuarat berkenaan turut menyokong pelaksanaan Pelan Kerja ASEAN bagi Maklumat dan Media 2026-2035, dengan perbincangan tertumpu kepada kerjasama media serantau, literasi digital dan media serta cabaran baharu dalam sektor maklumat.
-- BERNAMA-XINHUA