KUALA LUMPUR: EcoWorld Development Group Berhad (EcoWorld) memperkukuh kedudukannya dalam segmen perindustrian dengan memberi tumpuan kepada sektor bernilai tinggi, ketika permintaan terhadap ruang industri berkualiti terus berkembang dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), syarikat multinasional (MNC) serta syarikat teknologi.
Eco Business Park VII (EBP VII) di Negeri Sembilan yang merekodkan jualan melebihi RM800 juta sejak dilancarkan pada November 2025, sekali gus mencerminkan permintaan kukuh terhadap pembangunan industri di koridor baharu negara.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld, Liew Tian Xiong berkata penglibatan kumpulan itu dalam segmen industri bukan satu perubahan haluan daripada pembangunan kediaman, sebaliknya telah menjadi sebahagian daripada strategi syarikat sejak penubuhannya.
“Orang ramai melihat kami terutamanya sebagai pemaju kediaman dan perbandaran. Tetapi sebenarnya sejak hari pertama EcoWorld, kami sudah mempunyai business parks.
“Bagi kami, kehidupan dan pekerjaan perlu bergerak seiring. Itulah bagaimana kita membentuk sebuah perbandaran yang benar-benar hidup,” katanya dalam program Investment Insider terbitan Astro AWANI.
Agenda AWANI: EcoWorld sasar lebih banyak pekerjaan bergaji tinggi di Malaysia
Menurut Tian Xiong, peningkatan aktiviti perindustrian terutama selepas pandemik COVID-19 menyebabkan segmen tersebut semakin menyerlah dalam portfolio EcoWorld.
Platform industrinya kini merangkumi tujuh Eco Business Parks (EBP) serta dua taman QUANTUM, dengan kehadiran merentasi beberapa koridor pertumbuhan utama termasuk Lembah Klang, Lembah Visi Malaysia 2.0 (MVV 2.0) dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JSSEZ).
Segmen industri juga muncul sebagai antara pemacu pertumbuhan utama kumpulan itu dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul sebanyak 41 peratus antara tahun kewangan 2020 hingga 2025. Dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun kewangan 2026 (FY2026), jualan industri sudah mencapai 94 peratus daripada keseluruhan jualan segmen berkenaan pada tahun sebelumnya.
Tian Xiong berkata peluang yang sedang muncul daripada perubahan geopolitik dan penyusunan semula rantaian bekalan global memberi ruang kepada Malaysia untuk menarik lebih banyak pelaburan berkualiti.
“Kami mahu lebih banyak perniagaan berkembang di Malaysia kerana begitulah sesebuah negara berkembang. Kita perlukan lebih banyak pekerjaan, lebih banyak pelaburan, kita mahu gaji meningkat dan kita mahu persekitaran kerja yang lebih baik.
“Selagi kita mengikuti garis panduan kelestarian dan standard global, kita akan melihat lebih banyak pekerjaan bergaji tinggi datang ke Malaysia,” katanya.
Pada masa sama, profil industri yang disasarkan EcoWorld juga semakin berkembang daripada pembuatan tradisional kepada bidang bernilai tambah tinggi seperti pusat data, teknologi, aeroangkasa, farmaseutikal, peranti perubatan dan pembuatan maju.
EcoWorld merekodkan jualan terkumpul melebihi RM1.87 bilion kepada pengendali pusat data serantau dan global melalui platform QUANTUM dalam tempoh kurang dua tahun.
Ketua Operasi EcoWorld, Clement Liaw pula berkata strategi kumpulan itu kini melangkaui penjualan tanah perindustrian dengan menawarkan penyelesaian Built-to-Suit bagi memenuhi keperluan khusus pelabur.
Model itu membolehkan kemudahan kilang dibangunkan mengikut keperluan operasi sesebuah syarikat, selain menyediakan fasilitasi berkaitan penubuhan syarikat, permohonan insentif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), lesen pembuatan, kelulusan kawal selia dan pembinaan.
“Kami mendapati bahawa menjual tanah sahaja bukan satu-satunya penyelesaian kepada pelabur.
“Apa yang kami cuba lakukan ialah menyediakan Built-to-Suit solutions. Di samping menjual tanah industri, kami menyediakan penyelesaian perniagaan sehenti kepada pelanggan. Kami mendengar apa yang mereka perlukan dan membangunkan kilang itu dari A hingga Z,” katanya.
Agenda AWANI: EcoWorld tawar solusi sehenti untuk pelabur industri, bukan jual tanah sahaja
Menurut Clement, pendekatan itu amat penting bagi syarikat dalam sektor seperti aeroangkasa, farmaseutikal, elektronik maju dan kejuruteraan berketepatan tinggi yang lazimnya memerlukan spesifikasi kilang tersendiri.
Pada masa sama, EcoWorld turut mengekalkan gabungan PKS dan syarikat besar dalam taman industrinya bagi mewujudkan aktiviti ekonomi dan rantaian bekalan yang lebih kukuh.
Clement berkata PKS memainkan peranan penting dalam membentuk ekosistem sesebuah taman industri sebelum kemasukan pelabur berskala besar.
“Kami sentiasa percaya bahawa dengan membawa PKS ke dalam zon industri, ia boleh menjana aktiviti perniagaan.
“Kemudian dalam tempoh tiga hingga lima tahun, apabila infrastruktur hampir siap dan kemudahan lain mula masuk, pembelian tanah industri oleh pelabur asing pula memberi keyakinan yang lebih besar kepada keseluruhan taman industri,” katanya.
Investment Insider: Connecting Industry to Opportunity