Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Peluang bekerja selepas usia 60 perlu lebih fleksibel seiring rakyat hidup lebih lama – Amir Hamzah

Amir Hamzah Azizan ISWC Agenda AWANI_Astro AWANI
Amir Hamzah ketika ditemu bual dalam program Agenda AWANI. - Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Peluang untuk terus bekerja selepas usia 60 tahun perlu diperluaskan kepada rakyat yang masih sihat, berkemampuan dan mahu menyumbang, selari dengan perubahan demografi negara serta jangka hayat rakyat Malaysia yang semakin panjang.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, dasar berkaitan pekerjaan tidak lagi boleh berasaskan tanggapan bahawa kehidupan produktif seseorang berakhir apabila mencapai usia persaraan.

Sebaliknya, pendekatan lebih fleksibel perlu diwujudkan supaya golongan berusia boleh terus bekerja mengikut kemampuan, termasuk secara separuh masa, ekonomi gig atau melalui kerjaya kedua.

“Ada banyak warga emas kita yang masih ada kehendak dan kebolehan untuk terus menyumbang dalam negara.

“Untuk mereka, yang penting dari segi fleksibiliti yang kita benarkan... mungkin kita kena tengok macam mana hendak membolehkan mereka lebih banyak diterima,” katanya dalam temu bual Agenda AWANI sempena Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa 2026 (ISWC 2026), pada Selasa.

Amir Hamzah berkata, pendekatan itu bukan bermaksud mewajibkan rakyat bekerja lebih lama atau menetapkan bahawa mereka perlu terus bekerja selepas usia persaraan. 

Sebaliknya, ia adalah mengenai memberi pilihan dan aturan kerja yang lebih fleksibel kepada mereka yang masih mahu dan mampu untuk terus menyumbang.

Menurut Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), lelaki yang berumur 60 tahun pada 2025 dijangka terus hidup secara purata 18.8 tahun lagi, manakala wanita 21.6 tahun. 

Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) turut menggariskan semakan peraturan berkaitan persaraan minimum dan penggajian semula selain menggalakkan aturan kerja fleksibel.

Amir Hamzah berkata, perubahan itu semakin penting selepas Malaysia mencapai status negara menua pada 2021.

Pada 2026, dianggarkan 2.9 juta penduduk atau 8.4 peratus daripada populasi Malaysia berumur 65 tahun ke atas, manakala negara dijangka mencapai status negara tua pada 2048.  

“Pertukaran demografik ini adalah satu benda yang kita dah jangka dan kita harus menangani dengan perubahan juga dasar-dasar yang ada dalam negara untuk menyediakan negara menghadapi status negara tua,” katanya.

Menurut beliau, perubahan struktur keluarga turut menjadikan pendekatan tradisional terhadap usia tua semakin mencabar.

RMK13 meletakkan persediaan menuju negara menua sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan negara merangkumi pekerjaan, perlindungan sosial, kesihatan, penjagaan dan kedudukan fiskal.  

Selain peluang pekerjaan, Amir Hamzah berkata sistem persaraan juga perlu berubah bagi mengambil kira kemungkinan seseorang hidup selama dua dekad atau lebih selepas berhenti bekerja.

Menurutnya, cabaran bukan sekadar memastikan rakyat mempunyai simpanan mencukupi ketika mencapai umur persaraan, tetapi memastikan wang berkenaan dapat menyediakan pendapatan sepanjang tempoh kehidupan selepas bersara.

“Yang paling penting adalah kesedaran. Kita harus ada cukup simpanan untuk masa persaraan kerana zaman sekarang lain pada zaman ibu bapa kita,” katanya.

Setakat 31 Mei 2026, hanya 38.3 peratus ahli aktif formal warganegara Malaysia berumur 18 hingga 60 tahun mencapai tahap Simpanan Asas KWSP mengikut umur.  

Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan KWSP menetapkan tiga paras simpanan pada usia 60 tahun iaitu Simpanan Asas RM390,000, Simpanan Mencukupi RM650,000 dan Simpanan Dipertingkatkan RM1.3 juta.  

Amir Hamzah berkata, selain memperluas caruman kepada pekerja gig dan bekerja sendiri, cara pengeluaran selepas bersara juga perlu berubah.

“Dulu bila sampai usia 55 tahun atau 60 tahun, semua (simpanan KWSP) dia bawa keluar. Memanglah nampak besar, kita boleh buat banyak perkara.

“Tapi kesedaran (perlu diterapkan) untuk simpan cukup kerana manalah tahu... boleh hidup 80 tahun, 100 tahun,” katanya.

KWSP turut menyediakan pilihan pembayaran bulanan melalui i-Emas yang membolehkan ahli mengatur perbelanjaan secara berkala sementara baki simpanan terus menerima dividen tahunan.  

Dalam aspek kesihatan pula, Amir Hamzah berkata persediaan menghadapi usia lanjut perlu bermula lebih awal melalui gaya hidup sihat dan pencegahan penyakit kronik, selain memperluas kemampuan rakyat mendapatkan perlindungan insurans atau takaful.

Beliau turut mengesahkan MediAsas, iaitu Pelan Asas Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT), sedang melalui fasa rintis sebelum pelaksanaan lebih meluas yang dijadualkan pada Januari 2027.

MediAsas merupakan pelan perlindungan perubatan sukarela dengan manfaat yang distandardkan, dan program rintisnya berlangsung dari akhir Julai hingga Oktober 2026 melibatkan enam syarikat insurans dan pengendali takaful serta hospital terpilih di Lembah Klang.  

Menurut Amir Hamzah, langkah itu turut akan membolehkan ahli KWSP menggunakan simpanan daripada Akaun Sejahtera untuk membayar premium perlindungan perubatan yang berkenaan.

Peluasan platform i-Lindung bagi merangkumi insurans dan takaful kesihatan menggunakan Akaun Sejahtera telah diumumkan di bawah Belanjawan 2026.

ISWC 2026 yang berlangsung pada 29 dan 30 September bertemakan “The Long Horizon” turut memberi tumpuan kepada kecukupan persaraan, penjagaan kesihatan dan jangka panjang, penuaan aktif, komuniti inklusif serta penyertaan berterusan golongan berusia dalam masyarakat.

Agenda AWANI: Menua dengan produktif, manfaat jangka hayat panjang

Must Watch Video

Advertisement