JAKARTA: Usaha mencari dan menyelamat mangsa susulan kebakaran depoh simpanan bahan api di Indonesia masih dijalankan.

Ia selepas kebakaran dan letupan di depoh simpanan minyak itu mengakibatkan kawasan sekitar perumahan menerima impaknya.

Dilaporkan sekurang-kurangnya 17 maut dalam insiden itu.

Setakat ini, 260 anggota bomba dan 52 jentera dikerahkan bagi operasi pemadaman kebakaran.

Kebakaran dilapor bermula jam 8 malam Jumaat dari paip bahan api di stesen simpanan bahan api Plumpang dikendalikan syarikat minyak dan gas milik kerajaan Pertamina di Jakarta.

Ia turut dilaporkan merebak ke rumah berhampiran yang padat dengan penduduk di kawasan kejiranan Tanah Merah, menyebabkan situasi panik dalam kalangan masyarakat.

Jurucakap Pertamina berkata kejadian itu tidak menjejaskan bekalan kerana kebakaran berlaku di kawasan luar laluan saluran paip bahan api.

Untuk rekod, Pertamina Plumpang mempunyai kapasiti 300,000 kiloliter dan membekalkan 25 peratus keperluan bahan api Indonesia, khususnya untuk kawasan Jabodetabek.