KUALA LUMPUR: Universiti Malaya (UM) bakal meraikan seramai 11,852 graduan sempena Istiadat Konvokesyen Ke-66 yang akan berlangsung selama 10 hari bermula 17 hingga 26 November 2026 di Dewan Tunku Canselor.
Penganjuran istiadat konvokesyen tahun ini membawa makna tersendiri apabila berlangsung bersempena ulang tahun ke-121 penubuhan universiti tertua negara itu, sekali gus mencerminkan kesinambungan legasi UM dalam melahirkan generasi berilmu, berdaya saing dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara serta masyarakat global.
UM dalam satu kenyataan memaklumkan, istiadat berkenaan akan berlangsung dalam 17 sidang, dengan sidang pertama pada 17 November dijadual disempurnakan oleh Canselor Universiti Malaya, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.
Menurut kenyataan itu, istiadat konvokesyen kali ini akan menyaksikan penganugerahan pelbagai kelayakan akademik merangkumi ijazah kedoktoran, ijazah sarjana, ijazah sarjana muda dan diploma dalam pelbagai bidang pengajian.
Selain meraikan kejayaan akademik para graduan, UM turut menjadikan istiadat berkenaan sebagai platform mengiktiraf sumbangan tokoh-tokoh terkemuka dalam bidang akademik, kepakaran profesional serta pembangunan masyarakat menerusi penganugerahan Ijazah Kehormat dan pengiktirafan gelaran Profesor Emeritus.
Naib Canselor UM, Profesor Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman berkata, penganjuran istiadat konvokesyen bersempena ulang tahun ke-121 universiti itu membawa makna yang lebih besar daripada sekadar meraikan pencapaian akademik graduan.
Beliau berkata, sepanjang 121 tahun penubuhannya, UM memainkan peranan penting dalam melahirkan pemimpin, ilmuwan, profesional dan tokoh masyarakat yang memberi sumbangan besar kepada pembangunan negara.
"Namun, kejayaan sebenar sesebuah universiti bukan hanya diukur melalui jumlah graduan yang dilahirkan atau pencapaian akademik semata-mata, tetapi melalui keupayaan mereka memanfaatkan ilmu, memimpin perubahan dan memberikan impak positif kepada masyarakat.
"Universiti Malaya berharap setiap graduan UM akan terus membawa nilai kecemerlangan, integriti dan tanggungjawab sosial dalam apa jua bidang yang diceburi, sekali gus meneruskan legasi universiti ini untuk generasi akan datang," katanya.
Menurut UM, istiadat konvokesyen tersebut bukan sahaja menjadi simbol kejayaan akademik para graduan, malah mencerminkan komitmen berterusan universiti itu dalam memperkukuh kecemerlangan pendidikan tinggi serta pembangunan modal insan yang mampu berdepan cabaran masa depan.