LOS ANGELES (AMERIKA SYARIKAT): Kebakaran di sebuah gudang penyimpanan sejuk di Los Angeles memasuki hari ketiga pada Sabtu ketika pasukan bomba terus berusaha mengawal kebakaran itu, lapor Anadolu Ajansi.
Kebakaran tercetus pada Khamis di kemudahan berkenaan yang terletak di kawasan kejiranan Boyle Heights berhampiran pusat bandar Los Angeles dan masih belum berjaya dipadamkan selepas tiga hari.
Rakaman di lokasi menunjukkan asap terus kelihatan dari gudang itu manakala operasi pemadaman serta langkah keselamatan masih dilaksanakan di sekitar kawasan berkenaan.
Pihak berkuasa Los Angeles mengisytiharkan darurat setempat susulan usaha memadamkan kebakaran itu yang masih diteruskan.
-- BERNAMA-ANADOLU