BRUSSELS: Kebakaran hutan yang disifatkan sebagai antara yang terbesar dalam sejarah moden Belgium terus merebak untuk hari ketiga berturut-turut, memaksa pemindahan penduduk dari dua kampung berhampiran kawasan terjejas.
Ratusan anggota bomba sedang bertungkus-lumus memadamkan kebakaran yang melanda Hautes Fagnes, iaitu kawasan rizab alam semula jadi terbesar di negara itu, berhampiran sempadan Belgium dan Jerman.
Menurut pihak berkuasa tempatan, kebakaran itu merebak daripada kira-kira 80 hektar pada Jumaat kepada 850 hektar pada Sabtu sebelum meningkat kepada sekitar 3,000 hektar menjelang Ahad.
Usaha memadam kebakaran dibantu pesawat dan helikopter pengebom air dari Sweden dan Belanda, selain sokongan petani tempatan yang membawa bekalan air ke kawasan terjejas.
Menteri Dalam Negeri Belgium, Bernard Quintin, berkata dua kawasan utama kebakaran yang menghala ke Jalhay dan Monschau berjaya dikawal, namun sebahagian lagi kebakaran masih aktif dengan barisan api sepanjang kira-kira satu kilometer.
Pihak berkuasa berkata cuaca panas dan bentuk muka bumi yang terdiri daripada kawasan berpaya, tanah tandus dan hutan menyukarkan operasi pemadaman.
Setakat ini tiada kediaman dilaporkan musnah, namun kawasan punca kebakaran masih belum dapat diakses pasukan penyelamat dan punca kejadian masih disiasat.
Kebakaran itu berlaku ketika beberapa negara Eropah termasuk Greece, Croatia, Sepanyol, Serbia dan Perancis turut berdepan kebakaran hutan susulan gelombang haba yang melanda rantau berkenaan sejak beberapa minggu kebelakangan ini.