DHAKA: Sekurang-kurangnya 16 pekerja migran Bangladesh maut dalam kebakaran di sebuah kilang pembuatan sofa di Riyadh, Arab Saudi, pada Ahad.
Kementerian Luar Bangladesh dalam kenyataan pada Isnin berkata kebakaran itu berlaku di kawasan perindustrian Musa Sanaiya.
Menurut kementerian itu, pihaknya sedang memantau rapat perkembangan kejadian berkenaan, manakala pegawai Kedutaan Bangladesh di Riyadh bekerjasama dengan pihak berkuasa Arab Saudi bagi menguruskan proses pengecaman mangsa serta penghantaran pulang jenazah.
Menteri Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh, Ariful Haque Choudhury, telah mengarahkan pegawai berkaitan supaya membawa pulang jenazah mangsa secepat mungkin.
Beliau berkata langkah itu penting bagi memastikan bantuan segera kerajaan dan pampasan yang sewajarnya dapat disalurkan kepada keluarga mangsa.
Arab Saudi kekal menjadi destinasi terbesar pekerja migran Bangladesh, dengan kira-kira 3.5 juta rakyat negara itu bekerja dan menetap di negara Asia Barat berkenaan.
Golongan pekerja migran tersebut menyumbang penting kepada ekonomi Bangladesh menerusi kiriman wang (remitan), yang melebihi AS$2.7 bilion pada tahun lalu.