Skip to main content

Dunia

Kebakaran kilang Tata Steel terkawal, tiada kecederaan

Fire Tata Steel FB Kellie Evans
Pihak pengurusan Tata Steel mengesahkan kesemua kakitangan yang berada di lokasi kejadian telah berjaya dipindahkan dengan selamat dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan setakat ini. -Gambar fail

PORT TALBOT: Pasukan bomba masih bertungkus-lumus memadamkan kebakaran besar yang marak di salah satu laluan pemprosesan kilang Tata Steel di Port Talbot, selatan Wales, sejak malam semalam. 

Insiden yang bermula sekitar jam 8 malam Rabu itu menyaksikan kepulan asap hitam tebal memenuhi ruang udara, sehingga memaksa pihak Polis South Wales mengeluarkan amaran kecemasan kepada penduduk sekitar supaya menutup semua pintu dan tingkap serta kekal berada di dalam rumah. 

Pihak pengurusan Tata Steel mengesahkan kesemua kakitangan yang berada di lokasi kejadian telah berjaya dipindahkan dengan selamat dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan setakat ini. 

"Anggota bomba daripada Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Mid and West Wales kini masih berada di tapak kejadian bersama pasukan tempatan untuk memadamkan sepenuhnya sisa kebakaran," menurut kenyataan rasmi syarikat hari ini. 

Lebih 100 anggota penyelamat bersama lapan jentera bomba, dua unit buih, dan dua platform menara tinggi dilaporkan terlibat dalam operasi berbahaya sepanjang malam bagi mengawal kemerebakan api. 

Syarikat itu turut menjelaskan bahawa insiden kebakaran ini langsung tidak mempunyai kaitan dengan aktiviti perobohan terkawal sebuah tangki gas lama yang dilakukan dengan selamat di tapak berkenaan sebelum itu.

Punca sebenar kejadian masih belum dapat dipastikan, dan siasatan forensik teknikal bersama agensi keselamatan dijadualkan bermula sebaik sahaja zon kebakaran diisytiharkan selamat sepenuhnya.

 

Must Watch Video

Advertisement