BANGI: Golongan belia disaran memanfaatkan peluang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam bidang penyelenggaraan motosikal yang berpotensi menawarkan pendapatan lumayan, khususnya bagi tenaga mahir yang memenuhi keperluan industri permotoran.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata bidang berkenaan mempunyai prospek kerjaya yang baik berikutan permintaan terhadap mekanik berkemahiran, terutama dalam penyelenggaraan motosikal berkuasa tinggi.
"Bila masuk TVET serta ada kemahiran terutamanya dalam membaiki motor dan sebagainya, gaji minimumnya ialah RM3,500. Inilah yang harus direbut oleh anak-anak muda," katanya dalam sesi Sembang Santai MotoGP anjuran AZH Club di sini semalam.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata kemahiran teknikal yang diperoleh menerusi latihan khusus dalam bidang TVET mampu memberikan kelebihan kepada belia untuk membina kerjaya dalam industri berkenaan, malah membuka peluang untuk terlibat dalam arena sukan permotoran antarabangsa.
Dalam pada itu, beliau berkata latihan berkaitan teknologi motosikal elektrik (EV) dan motosikal konvensional turut diberi perhatian menerusi pembangunan Malaysia-China Institute di Bagan Datuk yang bakal menyediakan pendedahan kepada teknologi dari China.
"Insya-Allah masa depan mereka akan lebih terbela apabila berada di peringkat antarabangsa. Kita (mungkin) tak perlu mekanik dari Itali atau dari Sepanyol. Mekanik dari Malaysia pun boleh membantu pelumba-pelumba kita di peringkat antarabangsa," katanya.
Terdahulu, Ahmad Zahid meluangkan masa lebih dua jam bersama peminat sukan permotoran yang antara lain memberi peluang kepada pengunjung untuk beramah mesra dengan beliau dan menikmati pelbagai pengisian yang menggabungkan elemen sukan dan hiburan.
Sesi sembang santai itu turut menampilkan pelumba negara, iaitu Azlan Shah Kamaruzaman, Zulfahmi Khairuddin dan veteran Wazi Abdul Hamid yang berkongsi pengalaman mengenai arena permotoran negara.
Acara yang dihadiri lebih 3,000 pengunjung itu turut menampilkan pemberian sumbangan kepada golongan yang memerlukan, sekali gus membawa mesej keprihatinan terhadap kebajikan masyarakat.
-- BERNAMA