FRANKFURT: Jumlah kebankrapan korporat di Jerman melonjak kembali dengan ketara pada Jun, menurut data rasmi yang dikeluarkan pada Jumaat, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Pengurangan sedikit yang dicatatkan pada Mei tidak berterusan, menurut Pejabat Perangkaan Persekutuan.
Mahkamah tempatan merekodkan 2,266 permohonan kebankrapan korporat, meningkat 15.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas. Jumlah kebankrapan pengguna turut meningkat 5.1 peratus kepada 6,839 kes.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan permohonan kebankrapan korporat pada separuh pertama 2026 kepada 12,812 kes. Menurut pejabat perangkaan itu, ia merupakan angka separuh tahun tertinggi sejak 2013.
Berbanding tempoh sama tahun sebelum ini, terdapat peningkatan sebanyak 6.7 peratus. Tuntutan pemiutang berjumlah sekitar €18.5 bilion (US$21.5 bilion) dalam tempoh enam bulan pertama, menurun daripada €28.2 bilion pada tahun sebelumnya.
Ini bermakna kebankrapan pada tahun ini secara purata melibatkan jumlah yang lebih kecil.
Bagi setiap 10,000 syarikat, sebanyak 36.2 syarikat mengalami kebankrapan pada separuh pertama tahun ini. Kebankrapan korporat kerap berlaku terutamanya dalam sektor pengangkutan dan penyimpanan (71.6 kes bagi setiap 10,000 perniagaan) serta sektor perhotelan dan pembinaan (masing-masing 59.6 dan 53.4 kes).
Permohonan kebankrapan hanya dimasukkan dalam statistik selepas keputusan awal oleh mahkamah kebankrapan, dan penyerahan sebenar selalunya berlaku kira-kira tiga bulan terdahulu.
--BERNAMA-dpa