JAKARTA: Kedutaan Besar Malaysia hari ini menganjurkan majlis korban dengan tema, 'Berkongsi Keberkatan' dan mengagihkan daging sempena Hari Raya Aidiladha.

Sebanyak tiga ekor lembu dan 11 ekor kambing dikorbankan pada majlis yang dihadiri seramai 300 jemputan terdiri daripada pegawai, kakitangan dan keluarga serta rakyat Malaysia di sini.

"Program ini memupuk semangat kerjasama serta mengeratkan hubungan di antara kedutaan dan masyarakat sekitar," kata Duta Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin.

"Sebanyak 250 bag daging korban diagihkan kepada masyarakat di sekitar Jakarta Selatan termasuk Kuningan," katanya kepada pemberita.

Majlis bermula selepas solat sunat Aidiladha di kompleks kedutaan di bawah pengawasan jawatankuasa khas diketuai Kaunselor Kastam di kedutaan Ahmad Talib.

Ahmad menjelaskan perancangan majlis bermula sejak Mei dengan pendaftaran nama penyumbang dan pembelian jenis haiwan yang mereka pilih.

"Alhamdulillah, proses penyembelihan berjalan lancar dan mendapat kerjasama baik semua pihak. Kesemua haiwan korban ini kita beli di Bekasi," katanya.

Sementara itu, ribuan umat Islam memenuhi jalan raya di Kampung Melayu, Jakarta Timur untuk menunaikan solat sunat Aidiladha awal pagi tadi.

Presiden Joko Widodo dan isteri Iriana Joko Widodo melaksanakan solat sunat Aidiladha bersama masyarakat pukul 6.30 pagi waktu tempatan di halaman Istana Yogyakarta, kira-kira 563 kilometer dari Jakarta Selatan.

-- BERNAMA