Keluarga mangsa nahas Jeju Air failkan saman terhadap Boeing di mahkamah AS

Keluarga mangsa memfailkan saman itu kerana mendakwa Boeing bertanggungjawab dalam isu kecacatan pembuatan. - Reuters
SEOUL: Keluarga mangsa nahas pesawat Jeju Air Co. yang berlaku hujung tahun lalu memfailkan saman terhadap pengeluar pesawat Amerika Syarikat, Boeing Co., di sebuah mahkamah di Amerika, dengan mendakwa syarikat itu bertanggungjawab atas kecacatan pembuatan, menurut keluarga mangsa pada Rabu, lapor Agensi Berita Yonhap.
Menurut keluarga dan wakil peguam mereka, dua daripada tiga firma guaman domestik dan antarabangsa yang mewakili keluarga itu baru-baru ini memfailkan tuntutan di Mahkamah Tinggi Daerah King di Seattle, Washington. Firma guaman yang satu lagi dilaporkan sedang dalam proses memfailkan tuntutan tambahan.
Keluarga mangsa mendakwa, beberapa kegagalan berlaku pada peralatan pendaratan penting ketika pesawat Jeju Air 7C2216 menghampiri landasan dan menegaskan bahawa Boeing bertanggungjawab atas kecacatan yang menyebabkan nahas tragik pada 29 Dis di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, yang meragut nyawa 179 penumpang dan anak kapal.

-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami