Isteri Putera Harry, Meghan Markle, menyifatkan kematian George Floyd sebagai suatu yang amat mengecewakan.

Ketika memberi ucapan di hadapan para graduan sebuah sekolah menengah tinggi di Los Angeles pada Khamis, Markle turut berkata kematian Floyd bukan satu perkara yang kecil.

"Satu kesilapan jika kita berdiam diri, kerana nyawa George Floyd bukan perkara kecil," katanya semasa upacara graduasi maya penuntut Immaculate Heart High School, yang juga merupakan bekas sekolah menengahnya.

Markle, yang ibunya seorang warga Amerika Syarikat berkulit hitam, turut menyebut beberapa nama individu berkulit hitam yang pernah menjadi mangsa kekejaman kaum di negara tersebut.

"Saya terkilan anda membesar ketika kekejaman ini masih berlaku," tambah Markle, yang kembali ke California awal tahun ini, beberapa bulan selepas beliau dan Harry mengumumkan mengundurkan diri daripada tugas mereka dalam keluarga diraja Britain pada 2019.

BACA: Protes keganasan polis Minneapolis merebak ke 30 bandar

Markle menyeru para graduan untuk menggunakan suara mereka dalam membantu membina kembali landasan sosial yang dianggapnya sudah musnah.

"Kita melihat orang ramai bersolidariti, anggota masyarakat saling memberi sokongan.

"Saya yakin anda tahu nyawa kaum kulit hitam juga penting. Suara anda diperlukan dan saya menyokong anda," katanya.

Protes berterusan berlaku di beberapa bandar di AS selepas kematian Floyd, 46 tahun.

Peguam itu maut selepas seorang anggota polis, Derek Chauvin, yang berkulit putih, menekan lutut di lehernya selama lebih lapan minit dalam kejadian yang berlaku di Minneapolis, Minnesota.

Pada Rabu, tiga lagi bekas pegawai polis didakwa berkaitan dengan kematian Floyd, lima hari selepas tuduhan dikenakan terhadap Chauvin.