KUALA LUMPUR: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) MyChild International menggesa tindakan antarabangsa yang konkrit untuk melindungi kanak-kanak Palestin ketika konflik Gaza memasuki tahun ketiga, dengan sekurang-kurangnya 21,700 kanak-kanak dilaporkan terbunuh dan 45,000 lagi cedera.
Pengerusinya Mohd Azmi Abdul Hamid berkata skala kematian, kecederaan dan perpindahan dalam kalangan kanak-kanak menunjukkan bahawa perlindungan mereka perlu kekal sebagai fokus tindak balas antarabangsa terhadap Gaza.
“Walau apa pun perbezaan politik yang wujud dalam kalangan kerajaan, perlindungan kanak-kanak tidak boleh dirundingkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu yang menandakan tiga tahun sejak 7 Okt 2023.
Menurut UNICEF, lebih 11,000 kanak-kanak yang cedera telah mengalami kecacatan kekal manakala sekurang-kurangnya 1.3 juta orang terus kehilangan tempat tinggal, ramai daripada mereka berulang kali.
Azmi berkata banyak mangsa yang terselamat juga hidup kurang upaya, mengalami trauma psikologi, pendidikan terganggu, perpisahan keluarga dan kehilangan ibu bapa serta orang tersayang.
Beliau berkata krisis kemanusiaan berterusan walaupun gencatan senjata diumumkan pada Oktober 2025, dengan UNICEF melaporkan pada Ogos bahawa sekurang-kurangnya 300 kanak-kanak Palestin dilaporkan terbunuh dalam tempoh 300 hari selepas pengumuman gencatan senjata.
“Masyarakat antarabangsa tidak boleh terus mendokumentasikan penderitaan sambil gagal memastikan perlindungan yang berkesan,” katanya.
MyChild International menyeru perlindungan yang lebih kukuh terhadap kanak-kanak Palestin, akses kemanusiaan yang berterusan dan pemulihan perkhidmatan penting, termasuk penjagaan kesihatan, pendidikan, pemakanan dan sokongan psikososial.
Ia juga menggesa bantuan jangka panjang untuk kanak-kanak yang cedera, akauntabiliti atas dakwaan pelanggaran dan usaha pembinaan semula yang akan memulihkan bukan sahaja infrastruktur tetapi juga keadaan yang diperlukan untuk kanak-kanak membina semula kehidupan mereka.
"Kita tidak boleh mengembalikan ‘tahun yang hilang’ daripada kanak-kanak ini namun kita boleh menolak untuk membiarkan masa depan mereka turut hilang," kata Azmi.
-- BERNAMA