KEMBOJA: Kemboja mencatat kemajuan untuk merealisasikan matlamat bebas periuk api yang ditetapkannya menjelang 2025, lapor Xinhua, memetik kenyataan Perdana Menteri Hun Manet pada Isnin.

"Setakat ini, 13 daripada 25 wilayah di Kemboja telah diisytiharkan bebas periuk api dan kami berada pada kedudukan untuk mencapai sasaran bebas periuk api menjelang 2025," katanya.

Wilayah Kampung Speu diisytiharkan sebagai wilayah ke-13 bebas periuk api.

Sebanyak 12 wilayah lain ialah ibu kota Phnom Penh, Stung Treng, Kep, Prey Veng, Preah Sihanouk, Tbong Khmum, Kampung Cham, Svay Rieng, Kampung Chhnang, Kandal, Takeo dan Kampot.

Kemboja antara negara yang teruk terjejas oleh ancaman periuk api dan sisa letupan perang (RW).

Dianggarkan terdapat antara empat juta dan enam juta tinggalan periuk api serta amunisi dalam perang dan konflik dalaman selama tiga dekad di negara itu yang berakhir pada tahun 1998.

Naib presiden pertama Cambodian Mine Action and Victim Assistance Authority (CMAA) Ly Thuch berkata dari 1979 hingga Ogos 2023, letupan periuk api dan ERW membunuh 19,822 orang dan mencederakan 45,209 yang lain, menjadikan Kemboja sebagai antara negara yang merekodkan jumlah korban terbesar.

Beliau berkata sejak 1992 hingga kini, kawasan seluas 2,795 kilometer persegi telah dibersihkan daripada periuk api dan ERW.

Kemboja masih perlu membersihkan baki 538 kilometer persegi tanah yang mengandungi periuk api menjelang 2025.

"Pada masa ini, kira-kira 1.1 juta orang masih tinggal di kawasan yang disyaki ditanam periuk api dan ERW," katanya.

-- BERNAMA