INTERNATIONAL
Kemboja peroleh AS$209 juta hasil eksport beras kilang dalam empat bulan pertama 2025

China kekal sebagai antara pengimport utama beras kilang dari Kemboja. - Gambar hiasan/REUTERS
PHNOM PENH: Kemboja mengeksport 282,315 tan beras kilang dalam tempoh empat bulan pertama 2025 dengan memperoleh hasil kasar sebanyak AS$209 juta, lapor Xinhua memetik kenyataan Persekutuan Beras Kemboja (CRF) pada Isnin.
Sebanyak 48 syarikat telah mengeksport beras kilang negara itu ke 59 negara dan wilayah sepanjang Januari hingga April tahun ini, menurut kenyataan itu yang turut menyebut bahawa China kekal sebagai antara pengimport utama komoditi berkenaan.
Kira-kira 77.94 peratus daripada jumlah eksport beras kilang itu terdiri daripada beras wangi, diikuti 17.15 peratus beras putih, 2.47 peratus beras "parboiled", 1.95 peratus beras organik dan 0.49 peratus beras jenis lain.
Setiausaha Negara dan Jurucakap Kementerian Perdagangan Kemboja Penn Sovicheat berkata Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Perdagangan Bebas Kemboja-China (CCFTA) telah mewujudkan asas kukuh bagi Kemboja mengeksport hasil pertanian ke China dan negara anggota RCEP lain dengan konsesi tarif."Di bawah perjanjian perdagangan ini, pelbagai produk Kemboja, khususnya hasil pertanian berkualiti tinggi seperti beras kilang, pisang kuning, mangga, longan dan lada hitam serta beberapa produk akuatik liar, telah dieksport ke China dengan kadar tarif keutamaan," katanya kepada Xinhua.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami