Kemboja tahan 3 lelaki warga China berhubung kematian pelajar Korea Selatan

Pejabat Presiden Lee Jae Myung (gambar) pada Selasa mengumumkan pihaknya akan menghantar pasukan respons bersama ke Kemboja untuk menangani jenayah yang menyasarkan rakyat Korea Selatan. - Gambar fail/AP
ISTANBUL: Pihak berkuasa Kemboja menahan tiga lelaki warga China atas tuduhan membunuh dan penipuan dalam talian berkaitan kes penculikan, penyeksaan dan kematian seorang pelajar Korea Selatan selepas terjerat dalam sindiket penipuan dalam talian, lapor Anadolu Ajansi memetik akhbar tempatan.
Menurut laporan Phnom Penh Post, polis masih memburu dua lagi suspek.
Pejabat pendakwa raya memaklumkan, ketiga-tiga lelaki itu didakwa selepas mayat Park Min-ho, 22, ditemukan dalam keadaan dipercayai telah diseksa dan dipukul di dalam sebuah trak pikap di Kemboja pada Ogos. Hasil bedah siasat menunjukkan Park meninggal dunia akibat serangan jantung yang berpunca daripada penyeksaan itu.
Perkembangan itu didedahkan selepas Pejabat Presiden Korea Selatan pada Selasa mengumumkan bahawa mereka akan menghantar pasukan respons bersama ke Kemboja untuk menangani jenayah yang menyasarkan rakyat Korea Selatan di tengah-tengah peningkatan kes penipuan pekerjaan susulan kes Park, menurut Agensi Berita Yonhap.Tindakan itu dibuat selepas Presiden Lee Jae Myung mengarahkan kementerian berkaitan dalam mesyuarat Kabinet supaya menggerakkan "semua sumber yang ada" untuk membantu rakyat Korea Selatan yang diculik di Kemboja akibat sindiket penipuan pekerjaan pulang ke tanah air dengan selamat.
Naib Menteri Luar Kedua Korea Selatan, Kim Ji-na dijadualkan mengetuai pasukan itu yang akan berlepas pada Rabu bersama pegawai dari Agensi Polis Negara (NPA) dan Perkhidmatan Risikan Negara, menurut jurucakap presiden Kim Nam-joon.
Ketua Pejabat Siasatan Negara di NPA, Park Sung-joo akan berkoordinasi dengan pihak berkuasa Kemboja mengenai penghantaran pulang warga Korea Selatan yang ditahan dan membincangkan siasatan bersama mengenai kematian pelajar itu.
Mereka yang dihantar pulang juga akan disiasat atas sebarang kemungkinan penglibatan dalam aktiviti jenayah setibanya mereka di tanah air.
Setakat Selasa, 63 warga Korea Selatan ditahan oleh pihak berkuasa Kemboja, kata Kim, sambil menambah bahawa kerajaan akan mengekalkan pendiriannya untuk membawa pulang semua rakyatnya, termasuk mereka yang enggan pulang.
Kedua-dua negara juga akan bekerjasama untuk membanteras jenayah penipuan."
Presiden Lee turut menggesa kerajaan untuk "menggunakan semua sumber yang ada untuk bertindak balas terhadap masalah itu dengan segera, tepat dan tegas."
"Semua kementerian berkaitan perlu mempercepatkan usaha menubuhkan saluran komunikasi tetap antara pihak berkuasa penguatkuasaan undang-undang kedua-dua negara melalui rundingan dengan kerajaan Kemboja," katanya semasa mesyuarat itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami