Skip to main content
Advertisement

Dunia

Kementerian Haji Saudi perluas penggunaan AI tingkat perkhidmatan jemaah haji, umrah

 Mekah, Kaabah, Haji
Analisis ramalan turut digunakan untuk mengunjurkan tarikh ketibaan dan pelepasan, tempoh penginapan serta trend berkaitan bagi menyokong perancangan dan persediaan awal. - Foto fail/Kementerian Media Arab Saudi
Advertisement

MEKAH: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi memperluas penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan analisis data bagi meningkatkan perkhidmatan kepada jemaah haji dan umrah, lapor Agensi Berita Saudi (SPA).

Kementerian itu menggunakan data untuk menghasilkan maklumat dan unjuran bagi menyokong perancangan serta proses membuat keputusan.

Ia turut menyediakan penyelesaian pintar bagi mengurus pergerakan dan aliran jemaah, sekali gus membantu melancarkan perjalanan serta meningkatkan pengalaman mereka.

Usaha itu selaras dengan komitmen kepimpinan Arab Saudi dalam memberikan perkhidmatan kepada jemaah serta matlamat Wawasan Saudi 2030 dan Program Pengalaman Jemaah (PEP).

Kementerian berkenaan turut berusaha memaksimumkan nilai strategik data menerusi analisis lanjutan, AI dan pengecaman corak.

Ia menjalankan kajian mengenai trend haji dan umrah, tingkah laku serta keutamaan jemaah, selain aspek penawaran dan permintaan.

Analisis ramalan turut digunakan untuk mengunjurkan tarikh ketibaan dan pelepasan, tempoh penginapan serta trend berkaitan bagi menyokong perancangan dan persediaan awal.

Dari segi operasi, kementerian menggunakan algoritma lanjutan untuk menganalisis dan mengurus aliran jemaah serta meramalkan waktu puncak.

Ia turut menganalisis pergerakan bas dan mengoptimumkan laluan pengangkutan antara lokasi suci bagi meningkatkan kecekapan pergerakan serta pengangkutan, selain membantu proses membuat keputusan ketika musim haji.

Bagi perkhidmatan yang disediakan secara langsung kepada jemaah haji dan umrah, “Nusuk AI” menawarkan maklumat dan panduan mengenai haji, umrah serta ziarah, menjawab pertanyaan, menyokong lebih 180 bahasa selain menyediakan interaksi suara.

Sejak dilancarkan, perkhidmatan itu telah digunakan oleh lebih dua juta pengguna termasuk 393,000 dalam tempoh sebulan lepas sahaja.

Kementerian turut menyediakan perkhidmatan “Digital Mutawwif” menerusi aplikasi Nusuk.

Perkhidmatan berasaskan AI itu membantu jemaah melaksanakan ibadah dengan menggunakan AI spatial untuk memahami lokasi, pergerakan dan kedudukan perjalanan mereka secara masa nyata.

Ia membimbing jemaah memilih laluan dan aras yang sesuai, selain mengira secara automatik bilangan pusingan tawaf dan sai.

Kementerian Haji dan Umrah baru-baru ini menerima “AI Ethics Seal” daripada Pihak Berkuasa Data dan Kecerdasan Buatan Saudi (SDAIA) bagi perkhidmatan Nusuk AI.

Pengiktirafan itu mencerminkan komitmen kementerian terhadap penggunaan teknologi pintar secara bertanggungjawab dan boleh dipercayai, selain usahanya memanfaatkan AI untuk meningkatkan perkhidmatan serta menyokong proses membuat keputusan, sekali gus mewujudkan pengalaman lebih pintar dan proaktif bagi jemaah haji dan umrah.

-- BERNAMA-SPA

 

 

Must Watch Video

Advertisement