Skip to main content

Dunia

Lebih 400,000 rakyat Perancis turun ke jalanan, protes kos sara hidup bertukar tegang

Anggota polis antirusuhan CRS Perancis memantau keadaan di hadapan perarakan ketika penunjuk perasaan tiba di Porte de Vincennes dalam satu demonstrasi yang dibenarkan pihak berkuasa di Paris, Perancis, pada 24 Oktober 2026. - Gambar Reuters
Anggota polis antirusuhan CRS Perancis memantau keadaan di hadapan perarakan ketika penunjuk perasaan tiba di Porte de Vincennes dalam satu demonstrasi yang dibenarkan pihak berkuasa di Paris, Perancis, pada 24 Oktober 2026. - Gambar Reuters

Advertisement

PARIS: Lebih 400,000 rakyat Perancis berhimpun di seluruh negara pada Sabtu dalam gelombang baharu protes membantah peningkatan kos sara hidup, sebelum beberapa demonstrasi bertukar tegang dengan pertempuran antara penunjuk perasaan dan pasukan keselamatan di Paris serta bandar-bandar utama lain.

Menurut Kementerian Dalam Negeri Perancis, kira-kira 410,000 orang menyertai demonstrasi yang diadakan di pelbagai lokasi, manakala penganjur mendakwa jumlah peserta jauh lebih tinggi.

Bagi mengelakkan insiden keganasan seperti minggu lalu berulang, pihak berkuasa mengerahkan 70,000 anggota keselamatan di seluruh negara. 

Menteri Dalam Negeri, Laurent Nunez turut memberi amaran bahawa kerajaan tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang keganasan atau gangguan ketenteraman awam.

Polis melepaskan gas pemedih mata di Paris serta beberapa bandar lain termasuk Marseille, Lyon, Lille, Bordeaux, Toulouse, Montpellier dan Nantes ketika cuba menyuraikan kumpulan penunjuk perasaan.

Image
Masked protesters face off with French police amid clashes during an authorised demonstration organised by labour unions in Paris as part of nationwide protests called by the "Yellow Vests" movement joined by French high school and university students against the cost of living and rising fuel prices, in France, October 24, 2026. REUTERS/Hannah McKay TPX IMAGES OF THE DAY
Penunjuk perasaan bertopeng berdepan anggota polis Perancis ketika demonstrasi berlangsung di Paris. - Gambar Reuters

Gelombang protes itu berlaku seminggu selepas rusuhan besar yang menyaksikan bangunan awam dirosakkan, ratusan premis perniagaan dirompak dan ribuan individu ditahan.

Walaupun suasana pada Sabtu dilihat kurang ganas berbanding minggu sebelumnya, ketegangan yang berlaku di pelbagai bandar mencerminkan kemarahan rakyat yang semakin memuncak ketika Perancis menghampiri pilihan raya bagi memilih pengganti Presiden Emmanuel Macron, yang kini berada di penghujung penggal kedua dan terakhirnya.

Di Paris, perhimpunan utama menarik kehadiran puluhan ribu peserta. 

Namun, ketegangan mula tercetus ketika orang ramai bersurai apabila berlaku pertempuran antara penunjuk perasaan dan polis.

Anggota keselamatan dilihat menggunakan gas pemedih mata, belantan serta meriam air untuk mengawal keadaan. 

Polis turut menahan puluhan individu susulan kekacauan yang berlaku.

Banyak premis perniagaan di ibu negara mengambil langkah berjaga-jaga dengan menutup operasi dan memasang penghadang pada tingkap premis bagi mengelakkan kejadian rompakan dan vandalisme. 

Muzium terkenal termasuk Louvre dan Musée d'Orsay turut ditutup sepanjang hari.

Image
People stand in front of a poster depicting "Mona Lisa" (La Joconde) in front of the Louvre Museum, which is closed all day due to the fears of renewed turmoil in Paris ahead of nationwide protests called by the "Yellow Vests" movement joined by French high school and university students, against the cost of living and rising fuel prices in France, October 24, 2026. REUTERS/Dylan Martinez
Orang ramai berdiri di hadapan poster yang memaparkan lukisan ikonik Mona Lisa (La Joconde) di luar Muzium Louvre yang ditutup sepanjang hari susulan kebimbangan berlakunya semula kekacauan di Paris menjelang protes seluruh negara yang dianjurkan gerakan "Yellow Vests". - Gambar Reuters

Kemarahan peserta demonstrasi bukan hanya berpunca daripada peningkatan kos sara hidup dan inflasi, malah turut dipengaruhi langkah kerajaan memperketat kawalan terhadap perhimpunan awam.

Kerajaan Macron sebelum ini mengarahkan polis menghalang penunjuk perasaan daripada memasuki pusat bandar yang menempatkan kawasan perniagaan utama. Di beberapa lokasi, perintah berkurung turut dikenakan bagi mengawal keselamatan.

Macron turut menuduh kumpulan "ultra-kiri" sebagai dalang kepada keganasan yang berlaku minggu lalu dan menganggap demonstrasi yang tidak dianjurkan oleh kesatuan sekerja sebagai tidak sah.

Di Nantes, ribuan penunjuk perasaan dilaporkan berjaya menembusi sekatan polis untuk memasuki pusat bandar walaupun pihak berkuasa menggunakan gas pemedih mata dan meriam air untuk menghalang mereka.

Di Lyon pula, polis menggunakan gas pemedih mata bagi menyuraikan kira-kira 1,000 penunjuk perasaan yang berkumpul di bahagian selatan bandar itu.

Seorang peserta demonstrasi berkata tindakan menyekat hak berhimpun secara aman memberi gambaran bahawa Perancis sedang bergerak ke arah pemerintahan yang semakin autoritarian.

Ketegangan politik turut meningkat apabila parti sayap kanan National Rally pimpinan Marine Le Pen memulakan kongres bagi melancarkan kempen menjelang pilihan raya presiden yang dijadual berlangsung dalam tempoh enam bulan akan datang.

Ribuan lagi penunjuk perasaan berhimpun membantah Le Pen dan Macron sambil melaungkan slogan anti-fasis di beberapa lokasi.

Pergolakan yang melanda Perancis ketika ini menyerlahkan suasana politik yang semakin panas menjelang pilihan raya, dengan isu inflasi, kos bahan api dan tekanan ekonomi terus menjadi antara kebimbangan utama rakyat.

Selain Perancis, protes berkaitan kos sara hidup dan isu sosial turut dilaporkan berlangsung di beberapa negara Eropah lain termasuk Itali, Belgium, Sepanyol dan Portugal. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement