SAINTIS Ugur Sahin dan Ozlem Tureci menghabiskan hampir sepanjang hidup mereka dalam menyumbang kepada bidang penyakit berjangkit dan onkologi.

Kini, pasangan suami isteri itu dikenali seluruh dunia kerana hasil titik peluh mereka membangunkan vaksin COVID-19 yang pertama dengan keberkesanan tinggi.

Sahin, 55, dan Tureci, 53, menubuhkan syarikat BioNTech di Mainz, Jerman pada 2008.

Pada Isnin, BioNTech bersama syarikat farmaseutikal Amerika Syarikat Pfizer umum ujian klinikal vaksin mereka menunjukkan kadar keberkesanan lebih 90 peratus dalam mencegah jangkitan COVID-19.

Bermula dengan asal-usul keluarga yang sederhana iaitu sebagai anak kepada seorang migran Turki di Jerman, Ketua Eksekutif BioNTech Sahin bersama isterinya Tureci kini antara 100 individu paling kaya di Jerman, menurut Reuters.

“Di sebalik kejayaannya, dia tidak pernah berubah daripada personalitinya yang rendah diri,” kata Matthias Kromayer, salah seorang ahli lembaga firma MIG AG yang menyokong BioNTech sejak awal penubuhannya.

Pasangan itu sebelum ini turut menubuhkan syarikat Ganymed Pharmaceuticals pada 2001 untuk membangunkan antibodi yang melawan kanser, kemudian dijual pada nilai AS$1.4 bilion pada 2016.

BACA: KKM kaji logistik vaksin sebelum buat sebarang keputusan

BACA: Vaksin Pfizer tidak akan berada di pasaran dalam masa terdekat, ini sebabnya...

Sahin dilahirkan di Iskenderun, Turki dan kemudian berpindah ke Cologne, Jerman pada umur 4 tahun.

Beliau pertama kali berjumpa dengan isterinya, Tureci, ketika kedua-dua saintis itu memulakan karier akademik mereka.

Tureci, anak kepada seorang ahli fizik warga Turki, turut merupakan migran di Jerman.

Mereka berkongsi dedikasi dan minat dalam bidang mereka - malahan, Tureci menceritakan kepada media bahawa pasangan itu pulang ke makmal untuk meneruskan kerja penyelidikan selepas majlis perkahwinan mereka.

Memetik laporan CNN, Sahin pada Selasa meluahkan rasa positif dengan perkembangan vaksin itu yang diharap dapat membawa kebaikan kepada seluruh kemanusiaan.

“Saya berpandangan mesej baik untuk kemanusiaan sekarang ialah kami kini memahami bahawa jangkitan COVID-19 boleh dicegah oleh vaksin,” ujar beliau.

Vaksin itu dijangka mendapat kelulusan Pentadbiran Makanan dan Dadah Amerika (FDA) dalam masa terdekat.