BANGKOK: Mahkamah Perlembagaan Thailand hari ini menetapkan 30 Sept untuk mengumumkan keputusan mengenai kes had penggal lapan tahun Prayuth Chan o-cha sebagai Perdana Menteri.

Mahkamah Perlembagaan yang bermesyuarat hari ini memaklumkan mahkamah telah menerima semua dokumen untuk kes itu.

"Oleh itu, Mahkamah Perlembagaan menetapkan keputusan akan diumumkan pada 3 petang, 30 September," menurut kenyataan mahkamah.

Sementara itu, pemangku Jurucakap Kerajaan Anucha Burapachaisri berkata Prayuth telah mengulangi keyakinannya terhadap sistem kehakiman.

"Prayuth akan menghormati keputusan Mahkamah walau apa jua keputusannya," katanya dalam satu kenyataan.

Pada 24 Ogos, Mahkamah Perlembagaan Thailand menggantung tugas rasmi Prayuth, 68, selepas mahkamah memutuskan untuk mendengar petisyen dikemukakan blok pembangkang yang memohon semakan dibuat bagi melihat sama ada beliau telah melebihi had penggal lapan tahun.

Namun, Prayuth masih meneruskan tugasnya sebagai Menteri Pertahanan.

Parti pembangkang Pheu Thai mendakwa tempoh masa pemerintahan Prayuth selepas beliau melakukan rampasan kuasa tentera pada 2014 perlu diambil kira dan beliau kini sudah menghampiri tarikh tamat penggalnya.

Bagaimanapun, penyokong Prayuth berkata permulaan tempoh perkhidmatannya ialah sejak perlembagaan 2017 dikuatkuasakan, malah ada yang menyatakan ia sepatutnya bermula selepas pilihan raya umum 2019.

Perlembagaan Thailand 2017 mengehadkan mana-mana perdana menteri berkhidmat lebih lapan tahun secara keseluruhan.

Timbalan Perdana Menteri, Prawit Wongsuwan kini menjadi pemangku Perdana Menteri.

-- BERNAMA