KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mempertingkatkan Garis Panduan Pasaran Yang Diiktiraf (Garis Panduan), bertujuan meningkatkan daya saing pengendali Pertukaran Aset Digital (DAX) yang dikawal selia dan memperkukuh perlindungan pelabur dan daya tahan keseluruhan segmen aset digital.
Menurut pengawal selia itu, penambahbaikan itu akan menyelaraskan landskap aset digital tempatan dengan perkembangan global di tengah-tengah peningkatan penglibatan dalam kelas aset tersebut.
“Garis panduan yang disemak semula itu bertujuan mempercepatkan pelancaran produk pada platform DAX, sambil memastikan pengendali DAX memiliki piawaian kebertanggungjawaban yang lebih tinggi.
“(Mereka juga akan) memperkukuhkan perlindungan pelabur dengan meningkatkan perlindungan aset pelanggan dan mengukuhkan rangka kerja tadbir urus serta daya tahan operasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, katanya, garis panduan tersebut akan memperkukuh daya tahan operasi platform DAX yang dikawal selia dengan meningkatkan keperluan bagi kestabilan kewangan, pegangan saham dan kecekapan pengurusan.
Menurut SC, pengendali DAX akan dimasukkan sebagai ahli Perkhidmataan Ombudsman Pasaran Kewangan pada 2026, sekali gus memberikan pelabur akses kepada saluran penyelesaian pertikaian formal.
Pada masa sama, pengawal selia itu juga sedang mengetatkan kawal selia terhadap aktiviti aset digital yang tidak dikawal selia, dengan tindakan pentadbiran diambil terhadap empat DAX yang beroperasi tanpa pendaftaran.
Sementara itu, SC juga telah bekerjasama dengan syarikat teknologi seperti Google untuk mengehadkan DAX yang tidak berdaftar daripada mempromosikan perkhidmatan mereka kepada rakyat Malaysia menerusi platform dan saluran media sosial bermula 14 April 2026.
“Rangka kerja DAX yang dipertingkatkan ini adalah selaras dengan matlamat Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030 untuk meningkatkan saiz pasaran modal Malaysia kepada antara RM5.8 trilion hingga RM6.3 trilion menjelang 2030,” katanya.
Pasaran aset digital Malaysi terus merekodkan pertumbuhan yang stabil dengan jumlah nilai dagangan DAX yang dikawal selia meningkat kepada RM17.14 bilion pada 2025, mewakili kenaikan sebanyak 23 peratus daripada RM13.93 bilion pada 2024.
Selain mengukuhkan kawal selia platform DAX, SC juga terus merapatkan jurang antara pasaran tradisional dan alternatif.
“Ini termasuk mengeluarkan Nota Amalan bagi menjelaskan mengenai perkhidmatan pembrokeran aset digital dan mengemas kini Garis Panduan Dana Dagangan Bursa (ETF) untuk membolehkan penawaran ETF mata wang digital.
“Inisiatif ini akan meningkatkan akses pelabur kepada aset digital dengan ketara sambil mengekalkan integriti pasaran modal Malaysia,” katanya.
Pindaan dalam garis panduan tersebut berkuat kuasa hari ini.
Semakan semula itu akan mengambil kira dapatan SC susulan latihan penanda aras, penglibatan dengan pihak berkepentingan utama dan maklum balas daripada rundingan awam yang dilaksanakan tahun lepas.
-- BERNAMA