Kerajaan baharu Republik Czech pimpinan Perdana Menteri populis Andrej Babis angkat sumpah jawatan

Presiden Petr Pavel (depan) bersama Babis dan anggota menteri menyempurnakan upacara angkat sumpah menteri-menteri di Istana Prague. - Foto AP
PRAGUE: Kerajaan baharu Republik Czech yang dipimpin oleh Perdana Menteri populis berhaluan kanan dan bilionair Andrej Babis secara rasmi mengangkat sumpah jawatan pada Isnin, sekali gus melengkapkan pembentukan Kabinet, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Presiden Petr Pavel menyempurnakan upacara angkat sumpah menteri-menteri di Istana Prague, sambil menggesa mereka agar bekerja secara konstruktif dan mengharapkan mereka "diberikan kekuatan" dalam menghadapi masa yang bergelora.
Parti ANO pimpinan Babis akan menguasai lapan kementerian, manakala parti antiimigresen Freedom and Direct Democracy (SPD) akan memegang tiga portfolio. Parti Motorists, yang berkempen memperjuang kepentingan pemandu, akan menguasai empat kementerian.
Babis, 71, kini perlu mendapatkan undi kepercayaan di Parlimen, yang dijadualkan pada 13 Januari. Pakatan pemerintah mempunyai majoriti jelas di Dewan Rendah, dengan 108 daripada 200 kerusi.
Babis memberi isyarat perubahan ketara dalam dasar terhadap Ukraine. Dalam satu mesej video yang dimuat naik di media sosial baru-baru ini, beliau berkata Suruhanjaya Eropah perlu mencari kaedah alternatif untuk membiayai Ukraine.
"Kami tidak akan memberikan sebarang jaminan atau memasukkan apa-apa dana," kata Babis.
Beliau sejak sekian lama mengkritik inisiatif peluru yang dilancarkan Presiden Pavel pada awal 2024, yang mengumpulkan bekalan peluru untuk Ukraine dari seluruh dunia.
Menurut angka terkini, Kyiv menerima 1.8 juta butir peluru berkaliber besar melalui usaha yang diterajui Republik Czech tahun ini.
Babis juga berdepan kritikan berhubung konflik kepentingan berikutan pemilikan lebih 250 syarikat di samping peranannya dalam politik. Beliau bakal meletakkan konglomerat pemprosesan makanan, pertanian dan kimia miliknya, Agrofert, ke dalam amanah bagi mematuhi keperluan undang-undang.
Di peringkat Kesatuan Eropah (EU), ANO bekerjasama dengan Parti Fidesz dari Hungary dan Parti Kebebasan Austria dalam kumpulan parlimen Patriots For Europe.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


