Skip to main content

Malaysia

Kerajaan tambah peruntukan RM1 juta kepada Universiti AIMST, bantu pelajar kurang mampu - PM Anwar

SUNGAI PETANI, 7 Jun -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan perasmian pada Majlis Serahan Pemberian Geran Kerajaan Tahunan kepada AIMST Universiti di sini hari ini. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan perasmian pada Majlis Serahan Pemberian Geran Kerajaan Tahunan kepada AIMST Universiti di sini hari ini. - Foto Bernama

SUNGAI PETANI: Kerajaan MADANI komited untuk memastikan kebajikan pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan di Universiti AIMST terus terpelihara menerusi jaminan bantuan pengajian.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata atas dasar itu, kerajaan bersetuju menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 juta bagi menambah geran tahunan yang diberikan kepada universiti swasta berkenaan.

“Kerajaan Persekutuan, Kerajaan MADANI akan memastikan anak-anak paling miskin di universiti ini terus diberi jaminan bantuan. Oleh itu, saya tambah RM1 juta khusus untuk tujuan tersebut.

“Minggu lalu, kita (mengumumkan) memberikan peruntukan RM100 kepada setiap pelajar sekolah menengah dan universiti bagi keperluan pembelian buku,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Penyerahan Geran Kerajaan Tahunan kepada Universiti AIMST, di Bedong, hari ini.

Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan Presiden MIC Tan Sri Dr SA Vigneswaran merangkap Canselor serta Pengerusi Universiti AlMST.

Pada majlis itu, Universiti AIMST menerima geran tahunan berjumlah RM25 juta.

Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata walaupun berdepan pelbagai cabaran di peringkat global, pertumbuhan ekonomi negara masih teguh bertahan.

Beliau berkata kadar pengangguran negara ketika ini berada pada tahap terendah, manakala prestasi pelaburan pula mencatatkan rekod tertinggi dalam sejarah.

“Tentu kita syukur, tetapi saya sebut selalu kalau istilahnya, ‘tidak sepatutnya dibuai dengan rasa leka’. Lihat cabarannya, salah satu cabaran utama, sudah tentu pendidikan, bagaimana untuk memastikan kita terus cemerlang," kata beliau.

Perdana Menteri berkata pendidikan merupakan instrumen penting dalam mengangkat martabat rakyat dan membina masa depan yang baik.

Justeru, kata beliau, kerajaan meletakkan pendidikan sebagai komponen utama yang menerima peruntukan tertinggi dalam Belanjawan setiap tahun.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement