PENGASAS ruang sembang teknologi tinggi, ChatGPT, mendesak penggubal undang-undang Amerika Syarikat (AS) untuk mengawal selia kecerdasan buatan atau artificial inteligence.

Desakan dibuat Sam Altman, Ketua Pegawai Eksekutif OpenAI, syarikat yang memayungi ChatGPT, ketika memberi keterangan di hadapan Jawatankuasa Senat berkaitan kebaikan dan keburukan teknologi baharu itu.

Altman memaklumkan satu agensi baharu perlu diwujudkan untuk mengawal selia lesen operasi syarikat-syarikat berasaskan AI.

Ini kerana dalam tempoh beberapa bulan lagi beberapa model AI akan memasuki pasaran.

"Saya rasakan kita memerlukan peraturan, garis panduan mengenai apa jangkaan berkaitan terma pendedahan dari syarikat membekalkan model yang mempunyai kemampuan seperti yang dinyatakan," katanya.

ChatGPT dan beberapa program sama berkemampuan menjawab soalan seperti manusia tetapi berpotensi menjadi tidak tepat.

Altman dalam pada itu turut membangkitkan isu etika model AI.

Walaupun mengakui potensi besar AI, Altman juga bimbang dengan potensi bahaya yang wujud dari AI.

"Ini adalah salah satu daripada kebimbangan utama, lebih banyak kemampuan untuk model ini memanipulasi, untuk memujuk, untuk menyediakan maklumat interaktif yang tidak tepat.

"Ini adalah kebimbangan yang signifikan. Kawal selia adalah satu perkara yang baik," katanya.

Sehubungan itu Altman mencadangkan beberapa kaedah untuk mengawal selia AI.

Ini termasuk melaksanakan audit ke atas firma-firma AI.