Skip to main content

Malaysia

SPRM tahan pengurus ladang disyaki terima rasuah RM20,000

61736156772_tbSPRM.jpg
Suspek lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira jam 8 malam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Pahang. - Gambar fail

KUANTAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang menahan seorang pengurus ladang kelapa sawit semalam kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM20,000.

Wang berkenaan dipercayai sebagai balasan membenarkan dua syarikat koperasi menggunakan jalan ladang bagi kerja mengutip dan mengangkut hasil sawit.

Advertisement

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira jam 8 malam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Pahang.

“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut antara 2023 hingga 2024 dan dipercayai telah menerima wang rasuah tersebut secara tunai sebanyak dua kali dengan setiap satunya berjumlah RM10,000,” katanya.

Lelaki tersebut kini direman lima hari hingga 15 Feb selepas Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman membenarkan permohonan SPRM itu di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang Mohd Shukor Mahmud ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a) (A) Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA

Must Watch Video