Kerajaan Jerman akan temui wakil industri farmaseutikal untuk bincang tarif AS

Pertemuan yang dijadual diadakan pada 12 November itu bertujuan membincangkan keadaan semasa sektor di Jerman.
BERLIN: Kerajaan Jerman telah menjemput wakil industri farmaseutikal untuk menghadiri pertemuan di Berlin minggu depan bagi membincangkan keadaan sektor itu, termasuk cara menangani tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS), lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Pertemuan yang dijadual diadakan pada 12 November itu bertujuan membincangkan "keadaan semasa sektor di Jerman," kata Ketua Canseleri, Thorsten Frei dalam sepucuk surat yang diperoleh dpa.
Amerika Syarikat dengan harga ubat-ubatannya jauh lebih tinggi berbanding Kesatuan Eropah (EU), merupakan pasaran eksport farmaseutikal terbesar bagi Jerman, merangkumi kira-kira satu perempat daripada jumlah penghantaran.
Presiden AS, Donald Trump baru-baru ini mengancam untuk mengenakan cukai import sebanyak 100 peratus ke atas ubat berjenama dan berpaten bermula 1 Oktober, namun kemudian mengecualikan EU. Buat masa ini, kadar cukai import dihadkan kepada 15 peratus.
Setakat ini, sektor farmaseutikal Jerman dilaporkan mendapat manfaat daripada pertikaian perdagangan itu, dengan hasil, pengeluaran dan pelaburan dijangka meningkat sebanyak tiga peratus tahun ini - sebahagiannya kerana eksport ke AS diawalkan susulan kebimbangan terhadap kemungkinan kenaikan tarif.
Dalam perjanjian gabungan pemerintah baharu Jerman yang memulakan tugas pada Mei lepas, kerajaan berikrar untuk memperkukuh "sektor kesihatan industri - khususnya industri farmaseutikal dan teknologi perubatan - sebagai industri utama negara," kata Frei dalam surat itu.
Selain Ketua Canseleri; Menteri Kesihatan, Nina Warken; Menteri Ekonomi, Katherina Reiche dan Menteri Penyelidikan, Dorothee Bar turut dijangka menghadiri pertemuan minggu depan itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


