PUTRAJAYA: Cadangan penggantian paip dan pembangunan infrastruktur bekalan air di Kelantan adalah berdasarkan perancangan serta permohonan dikemukakan operator air negeri dan bukan ditentukan melalui had tahunan tertentu oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
SPAN dalam kenyataan hari ini memaklumkan setiap cadangan akan dinilai dengan mengambil kira keperluan projek, impak kepada perkhidmatan, keupayaan kewangan serta kemampuan pembayaran balik operator.
"SPAN ingin menegaskan bahawa organisasi ini bertindak selaku badan kawal selia industri perkhidmatan air dan bukannya institusi pembiayaan manakala pembiayaan pembangunan aset infrastruktur bekalan air dilaksanakan melalui Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan tertakluk kepada kedudukan kewangan serta kemampuan pembayaran balik operator," menurut kenyataan itu.
Baru-baru ini Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan Datuk Dr Izani Husin dilaporkan mendakwa terdapat kira-kira 4,000 kilometer (km) paip uzur di negeri itu yang perlu diganti secara berperingkat, namun SPAN hanya meluluskan penggantian kira-kira 150km paip setahun, sekali gus menyebabkan proses berkenaan mengambil masa yang panjang untuk diselesaikan sepenuhnya.
Berkenaan lesen operasi, SPAN memaklumkan tempoh lesen hingga lima tahun boleh diberikan kepada operator yang mencapai tahap prestasi dan kedudukan kewangan yang memuaskan berdasarkan petunjuk prestasi utama (KPI) ditetapkan.
"Bagi operator yang masih memerlukan penambahbaikan prestasi, tempoh lesen yang lebih singkat akan diberikan bagi membolehkan pemantauan dan tindakan penambahbaikan dilaksanakan secara lebih rapi," menurut kenyataan itu.
Menurut SPAN, Pelan Perniagaan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) bagi tempoh 2027 hingga 2031 yang merangkumi cadangan penggantian paip sepanjang 1,035km baharu sahaja diterima dan sedang dalam semakan suruhanjaya itu.
Menurut kenyataan itu, bagi tempoh terdahulu sejumlah 278km paip telah siap diganti, manakala 171.49km sedang dalam pelaksanaan dan 26km berada pada peringkat perancangan serta reka bentuk termasuk cadangan tambahan yang akan dinilai berdasarkan keperluan semasa perkhidmatan.
“Setiap cadangan akan dinilai dengan mengambil kira keperluan projek, impak kepada perkhidmatan, keupayaan kewangan serta kemampuan pembayaran balik operator,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu menyebut, SPAN komited terhadap usaha memastikan ketersediaan bekalan air bersih secara mampan dan bertatakelola selain kekal positif memacu agenda transformasi terhadap perkhidmatan air melalui pengawalseliaan menyeluruh meliputi aspek ekonomi, teknikal, operasi dan pengguna.
-- BERNAMA