Skip to main content

Dunia

Kerjasama ASEAN-China yang lebih kukuh perlu di tengah-tengah ketidaktentuan global - Setiausaha Agung ASEAN

Sumber: ASEAN
Hubungan rakan kongsi ASEAN-China yang lebih kukuh adalah amat diperlukan di tengah-tengah ketidaktentuan global yang semakin meningkat, kata Setiausaha Agung ASEAN, Kao Kim Hourn. - Gambar Facebook ASEAN
Advertisement

JAKARTA: Hubungan rakan kongsi ASEAN-China yang lebih kukuh adalah amat diperlukan di tengah-tengah ketidaktentuan global yang semakin meningkat, kata Setiausaha Agung ASEAN, Kao Kim Hourn pada Isnin, di sini.

Beliau turut menyeru kedua-dua pihak supaya memperdalam kerjasama bagi mempromosikan keamanan, kemakmuran dan pembangunan mampan di rantau ini serta kawasan sekitarnya, lapor agensi berita Xinhua.

Kao berkata demikian pada Forum Jakarta 2026 yang diadakan bagi memperingati ulang tahun kelima perkongsian strategik komprehensif ASEAN-China.

Beliau menyatakan, hubungan ASEAN-China secara konsisten mempamerkan keupayaan untuk berkembang dan menjadi lebih dinamik. China dan ASEAN kekal sebagai rakan dagang utama bagi satu sama lain, dengan jumlah perdagangan dua hala melebihi AS$1 trilion pada 2025.

Kao menarik perhatian bahawa ketegangan geopolitik kini semakin kompleks, pemecahan ekonomi semakin pantas, tekanan iklim kian meningkat dan kemajuan teknologi bergerak lebih cepat daripada kebanyakan rangka kerja tadbir urus.

Berikutan latar belakang itu, beliau menegaskan, perkongsian ASEAN-China yang lebih kukuh "bukan sekadar sesuatu yang diinginkan – malah ia sememangnya amat diperlukan."

Melangkah ke hadapan, Kao berkata, ASEAN dan China perlu memberi tumpuan kepada lima keutamaan utama: keamanan dan kestabilan, transformasi digital dan inovasi, kerjasama tenaga, daya tahan terhadap ancaman rentas sempadan serta kesalinghubungan antara rakyat.

Menurut beliau, perkongsian ASEAN-China yang lebih teguh dan produktif mestilah berpandangan ke hadapan, praktikal, inklusif serta berpusat rakyat.

Sementara itu, Duta China ke ASEAN, Wang Qing dalam ucapannya berkata, China dan ASEAN merupakan jiran rapat yang berkongsi masa depan bersama, dan hanya dengan berganding bahu kedua-dua pihak dapat mempromosikan pembangunan yang sihat serta stabil.

Wang berkata, China dan ASEAN harus kekal komited terhadap keterbukaan dan kerjasama, mempercepat pelaksanaan Protokol Naik Taraf Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (ACFTA) 3.0, membina pasaran  serantau yang lebih terbuka, selain meningkatkan keterjaminan makanan dan tenaga serantau serta kestabilan rantaian bekalan menerusi kerjasama yang saling menguntungkan.

Beliau turut menyeru kedua-dua pihak memperluas kerjasama dalam ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI), tindak balas iklim, tenaga bersih, ekonomi biru dan pertanian, agar seluruh rakyat di rantau ini dapat menikmati manfaat daripada pembangunan inklusif serta pemodenan.

-- BERNAMA-XINHUA 

 

 

Must Watch Video

Advertisement