INTERNATIONAL
Kerjasama strategik, isu Palestin jadi tumpuan negara GCC di Sidang Kemuncak ASEAN-GCC

Negara GCC menyatakan sokongan terhadap rakyat Palestin dan menyeru tindakan segera untuk menghentikan kekejaman di Gaza. - Gambar/ Reuters
KUALA LUMPUR: Kerjasama strategik bersama negara-negara anggota ASEAN dan usaha menyelesaikan isu keganasan terhadap penduduk Palestin di Gaza, menjadi tumpuan utama negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) pada Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2, sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di sini.
Ringkasan AI
- Negara-negara GCC dan ASEAN bersetuju untuk memperkukuh kerjasama strategik demi kestabilan dan kemakmuran rantau masing-masing, termasuk dalam bidang keselamatan, ekonomi, pelaburan, serta kerjasama kemanusiaan dan sosial.
- Negara GCC menyatakan sokongan terhadap rakyat Palestin dan menyeru tindakan segera untuk menghentikan kekejaman di Gaza, membuka laluan bantuan kemanusiaan, dan menubuhkan negara Palestin yang merdeka berdasarkan sempadan 1967.
- Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2 menjadi platform penting untuk memperkukuh hubungan dua hala dan menangani cabaran global seperti krisis geopolitik, perubahan iklim, keselamatan makanan, ancaman siber dan kestabilan rantaian bekalan.
"Ini bertujuan untuk mencapai apa yang dicita-citakan oleh para pemimpin kita dari segi kerjasama yang berkesan dan realistik, berdasarkan apa yang telah terkumpul oleh hubungan kita dari segi kepercayaan politik, integrasi ekonomi, dan komunikasi institusi yang membina," katanya.
Sementara itu Menteri Luar Kuwait Abdullah Ali Al Yahya berkata penganjuran sidang kemuncak kedua antara GCC dan ASEAN hendaklah merangkumi kehendak politik bersama untuk menyatukan perkongsian strategik yang komprehensif berdasarkan asas saling menghormati dan kepentingan bersama.
Beliau berkata dunia pada masa ini sedang menyaksikan transformasi pesat yang memerlukan pengaktifan tindakan kolektif dan pengukuhan perkongsian demi menghadapi cabaran rentas sempadan, daripada krisis geopolitik dan ekonomi kepada perubahan iklim, keselamatan makanan dan kesihatan, ancaman siber, dan rantaian bekalan yang tidak stabil.
"Kami juga menekankan kepentingan meningkatkan kerjasama antara GCC dan ASEAN dalam tiga perkara utama; iaitu keselamatan dan kestabilan serantau dan antarabangsa, memperluaskan kerjasama ekonomi, perdagangan dan pelaburan dan kerjasama kemanusiaan, kebudayaan dan sosial," katanya.
Mengenai isu Palestin, beliau berkata negara GCC berpendirian teguh dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin dan hak mereka untuk menubuhkan sebuah negara merdeka dan berdaulat, berpandukan kepada persempadanan tahun 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.
Timbalan Setiausaha Kementerian Luar bagi Hal Ehwal Politik Oman Sheikh Khalifa Ali Al Harthy pula berkata usaha antarabangsa bersepadu untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai di Semenanjung Gaza, membuka lintasan sempadan untuk bekalan bantuan kemanusiaan dan menentang pemindahan penduduk Palestin dari Gaza, mesti dilaksanakan segera.
"Kami (Oman) menyeru semua pihak untuk berganding bahu dan bekerjasama dalam mencapai keamanan yang komprehensif dan adil, dimana akan membawa penubuhan negara Palestin yang merdeka," katanya.
Senada dengan Oman, kerajaan Arab Saudi menerusi Timbalan Setiausaha Kementerian Luar Negeri bagi Hal Ehwal Antarabangsa Pelbagai Hala Dr Abdulrahman Ibrahim Al Rassi dalam ucapannya mengecam tindakan regim Israel atas kekejaman yang dilakukan ke atas rakyat Gaza.
"Kerajaan Arab Saudi menolak secara mutlak pencabulan yang tidak pernah berlaku sebelum ini terhadap rakyat Palestin, dan kami amat menghargai pendirian ASEAN dan sokongan terhadap perjuangan mereka", katanya.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan mesyuarat berkaitan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini dan esok, bersama dengan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China buat julung kalinya.
Dianjurkan di bawah Kepengerusian Malaysia ASEAN 2025 yang bertemakan "Keterangkuman dan Kemampanan", tahun ini merupakan kali kelima Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN, selepas 1977, 1997, 2005 dan 2015.
Sidang Kemuncak ini menghimpunkan pemimpin negara ASEAN bagi membincangkan perkembangan serantau dan melakar hala tuju masa depan perkumpulan serantau itu.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami