KUALA LUMPUR: Sistem penjagaan kesihatan Palestin yang mengalami kerosakan teruk berdepan kesan jangka panjang apabila kemusnahan meluas, kekurangan bekalan perubatan dan kekangan kewangan yang semakin meruncing melumpuhkan keupayaan Kementerian Kesihatan untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan yang penting.
Menteri Kesihatan Dr Maged Awni Abu Ramadan berkata lebih 80 peratus klinik penjagaan kesihatan primer mengalami kerosakan, menyebabkan ramai rakyat Palestin tidak mendapat akses kepada rawatan perubatan asas.
Beliau berkata kementerian amat memerlukan ubat-ubatan, vaksin, bekalan ujian makmal dan peralatan perubatan.
“Dalam tempoh dua setengah tahun lepas, apa yang masuk ke Gaza ibarat setitik air di lautan, bukan sahaja dari segi bekalan perubatan, malah makanan dan bekalan sanitasi lain yang diperlukan,” katanya semasa bersiaran secara langsung dari Palestin dalam segmen Bernama World di Bernama TV bertajuk Palestine Beyond The Headlines: Deliberate Destruction Of Palestinian Healthcare pada Khamis.
Israel melancarkan perang ke atas Gaza pada 8 Okt 2023, mengorbankan lebih 73,000 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 174,000 yang lain, menurut angka pihak berkuasa Palestin.
Anadolu Ajansi melaporkan kira-kira 90 peratus infrastruktur Gaza mengalami kerosakan, manakala 1,381 rakyat Palestin terkorban dalam serangan Israel sejak gencatan senjata pada Oktober 2025.
Sementara itu, Abu Ramadan berkata ramai rakyat Palestin berselerak di pelbagai kawasan yang mempunyai jalan raya rosak dan tiada pengangkutan awam, manakala kesulitan kewangan terus membataskan keupayaan mereka untuk ke hospital.
“Orang ramai tidak mempunyai kemampuan kewangan atau keupayaan untuk ke hospital, jadi kami perlu pergi kepada mereka. Penyediaan klinik bergerak amat penting bagi rawatan dan diagnosis awal, selain perkhidmatan seperti vaksinasi, penjagaan kesihatan ibu dan anak, pembedahan kecil serta rawatan penyakit kronik termasuk diabetes, hipertensi dan penyakit jantung yang terabai sejak hampir tiga bulan lepas,” katanya.
Menteri itu berkata krisis penjagaan kesihatan berkenaan diburukkan lagi oleh kekangan kewangan yang serius, dengan dua pertiga daripada pendapatan Palestin ditahan dan Kementerian Kesihatan menanggung hutang berjumlah AS$1.3 bilion.
Kementerian itu turut kehilangan lebih 1,200 kakitangan di Gaza, sekali gus menambah tekanan terhadap keupayaannya untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan.
“Kami tidak mampu membuat bayaran kepada pembekal dan pengeluar ubat-ubatan serta penyedia perkhidmatan, hospital dan pihak lain, dan keadaan itu sememangnya menjadi masalah serius,” katanya.
Abu Ramadan berkata sekatan jalan raya dan pusat pemeriksaan tentera Israel serta jalan raya yang dirosakkan peneroka haram Israel memburukkan lagi keadaan, sekali gus menghalang petugas kesihatan daripada sampai ke tempat kerja mereka.
Kesan gabungan kesulitan kewangan dan sekatan pergerakan telah menjejaskan penugasan kakitangan di hospital dan klinik penjagaan kesihatan primer secara serius, katanya.
Sementara itu, Abu Ramadan menyampaikan ucapan Selamat Hari Malaysia kepada kerajaan dan rakyat Malaysia serta menzahirkan penghargaan atas sokongan berterusan negara ini terhadap Palestin.
“Kami amat menghargai hubungan persahabatan antara Palestin dan Malaysia. Kami sentiasa mengharapkan sokongan anda,” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada Malaysia atas bantuan kepada rakyat Palestin.
-- BERNAMA