Kes bunuh Presiden Haiti: Polis dedah 28 warga asing terlibat

Astro Awani
Julai 9, 2021 21:39 MYT
Senjata, telefon bimbit, pasport dan sebahagian item lain yang dirampas polis selepas berbalas tembak dengan suspek kes bunuh Presiden Haiti dipamerkan kepada media di Port-au-Prince, Haiti, 8 Julai, 2021. REUTERS
PLOT pembunuhan Presiden Haiti, Jovenel Moise melibatkan 28 warga asing, termasuk pesara tentera Colombia.
Menurut polis, 17 daripada suspek berjaya ditahan selepas insiden tembak menembak di Port-au-Prince pada Khamis.
Sebahagian daripada mereka ditembak di rumah yang didiami mereka, manakala sebahagiannya selepas memasuki bangunan diplomatik Taiwan.
Bangunan tersebut terletak berdekatan kediaman di mana Moise dibunuh, menurut kenyataan Kementerian Luar Taiwan.
"Warga asing datang ke negara kita untuk membunuh presiden," kata ketua polis Léon Charles pada sidang media Khamis.
"Ia melibatkan 26 warga Colombia, yang dikenali melalui pasport mereka, dan dua Haiti-Amerika," tambahnya.
BACA: Presiden Haiti mati dibunuh
BACA: Presiden dibunuh, Haiti isytihar darurat
Menurutnya, tiga suspek ditembak mati, manakala lapan lagi sedang diburu.
Sehingga kini, motif dan dalang di sebalik plot pembunuhan itu belum diketahui.
Kematian presiden meletakkan negara itu dalam ketidaktentuan.
Sekumpulan pemimpin parti politik sudah menamakan calon presiden, namun keabsahan tindakan ini belum jelas.
Serangan berlaku awal pagi Rabu, apabila sekumpulan lelaki bersenjata memecah masuk kediaman rasmi presiden dan menembak mati Moise.
Presiden ditemui dengan 12 kesan tembakan di belakang badannya.
Turut cedera dalam insiden itu, isteri beliau, Martine Moise.
Martine kini dilaporkan dalam keadaan stabil selepas diterbangkan ke Florida untuk menerima rawatan.
#Colombia #bunuh #tembak #tembakan #warga asing #Haiti #bunuh presiden #Taiwan #Kementerian Luar