BOGOTA: Perdana Menteri sementara Haiti, Claude Joseph, pada Rabu mengisytiharkan darurat susulan pembunuhan Presiden Jovenel Moise, lapor Agensi Berita Anadolu (AA).

"Berdasarkan artikel 149 Perlembagaan, saya baru sahaja mempengerusikan satu mesyuarat tergempar dan kerajaan memutuskan darurat diisytiharkan di seluruh negara.

"Keselamatan negara kini terkawal," katanya dan berikrar membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Di bawah perlembagaan apabila ketiadaan Presiden, "sama ada peletakan jawatan, pemecatan, kematian atau ketidakupayaan fizikal atau mental," ahli jawatankuasa menteri, di bawah Perdana Menteri, akan mengambil alih pemerintahan sehingga pilihan raya Presiden diadakan.

Moise maut di kediaman peribadinya di Port-au-Prince selepas diserang sekumpulan lelaki bersenjata tidak dikenali yang bertutur bahasa Sepanyol

Isterinya Martine Moise, yang turut cedera kini dirawat di sebuah hospital, kata Joseph.

"Isterinya sedang menerima rawatan dan anak-anaknya selamat," katanya.

Lapangan terbang antarabangsa di Port-Au-Prince dan sempadan negara turut diarahkan ditutup.

Pembunuhan itu dikecam pelbagai pemimpin negara Amerika Latin, termasuk Republik Dominica, Mexico, Colombia, Bolivia, Peru, Ecuador dan Argentina.

Haiti satu daripada negara termiskin di hemisfera Barat dihuni 12 juta penduduk dan bergelut dengan pergolakan politik selain pernah dilanda gempa bumi dahsyat pada 2010.

-- BERNAMA