Skip to main content

Dunia

Kes campak di AS melebihi 3,000, liputan vaksinasi menurun

61615024260_vaksinasisarawak.jpg
Amerika Syarikat merekodkan sebanyak 3,134 kes campak yang disahkan pada tahun ini setakat Khamis, dengan jumlah kes di seluruh negara terus meningkat susulan penurunan liputan vaksinasi kanak-kanak. - Gambar hiasan
Advertisement

LOS ANGELES: Amerika Syarikat (AS) merekodkan sebanyak 3,134 kes campak yang disahkan pada tahun ini setakat Khamis, dengan jumlah kes di seluruh negara terus meningkat susulan penurunan liputan vaksinasi kanak-kanak, menurut data yang dikeluarkan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS pada Jumaat, lapor Xinhua.

Menurut CDC, angka itu telah pun melebihi 2,289 kes yang disahkan sepanjang 2025. 

Jumlah kes pada 2026 itu merupakan angka tahunan tertinggi yang direkodkan di AS sejak 1991.

Daripada kes yang dilaporkan tahun ini, sebanyak 3,118 dikenal pasti di 47 wilayah pentadbiran AS, manakala 16 lagi membabitkan pelawat antarabangsa. 

Seramai 248 orang dimasukkan ke hospital, mewakili kira-kira lapan peratus daripada kes disahkan, manakala 38 wabak campak dilaporkan setakat tahun ini.

CDC memaklumkan, kira-kira 94 peratus daripada kes disahkan membabitkan individu yang tidak divaksin atau tidak diketahui status vaksinasi mereka. 

Agensi itu mengesyorkan dua dos vaksin campak, beguk dan rubela (MMR) sebagai perlindungan terbaik terhadap campak.

CDC menyatakan liputan vaksinasi campak dalam kalangan kanak-kanak tadika di AS menurun kepada 92.4 peratus pada tahun persekolahan 2025-2026 berbanding 95.2 peratus pada tahun persekolahan 2019-2020. 

Kira-kira 280,000 kanak-kanak tadika tidak mempunyai dokumentasi yang menunjukkan mereka telah melengkapkan siri vaksin MMR.

Agensi itu memaklumkan bahawa apabila lebih 95 peratus penduduk dalam sesebuah komuniti divaksin, kebanyakan penduduk akan mendapat perlindungan menerusi imuniti komuniti.

-- BERNAMA-XINHUA

 

Must Watch Video

Advertisement