Skip to main content

Dunia

Tentera Laut IRGC rampas dron AS di ruang udara Selat Hormuz

IRGC mengesan dan mengenal pasti dron MQM-170 ketika menjalankan operasi ofensif sebelum menurunkannya dengan selamat tanpa memusnahkan struktur fizikalnya. - AP
IRGC mengesan dan mengenal pasti dron MQM-170 ketika menjalankan operasi ofensif sebelum menurunkannya dengan selamat tanpa memusnahkan struktur fizikalnya. - AP

Advertisement

TEHRAN: Tentera Laut Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) berjaya merampas sebuah dron peninjau dan umpan milik Amerika Syarikat (AS) dalam keadaan utuh di barat Selat Hormuz selepas mengambil alih sistem panduan dan kawalannya, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA).

Menurut kenyataan itu, unit peperangan elektronik tentera laut berkenaan mengesan dan mengenal pasti dron MQM-170 ketika menjalankan operasi ofensif sebelum menurunkannya dengan selamat tanpa memusnahkan struktur fizikalnya pada Khamis.

Menurut Tentera Laut IRGC, misi dron itu adalah untuk mengenal pasti sistem pertahanan udara Iran di sepanjang pantai Teluk Parsi dan sekitar Selat Hormuz. Analisis terhadap data yang diperoleh menunjukkan bahawa dron itu berlepas dari pesisir sebuah negara di selatan Teluk Parsi, menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut bahawa kejayaan merampas dron berkenaan dalam keadaan utuh membolehkan pasukan Iran memeriksa kelengkapan, data tersimpan dan butiran misinya.

MQM-170 Outlaw, yang dikeluarkan oleh syarikat AS, Griffon Aerospace, pada asalnya direka untuk mensimulasikan ancaman udara, menguji sistem pertahanan udara dan melatih anggota pertahanan udara.

Selain merakam gambar kedudukan ketenteraan, misi seumpama itu boleh membantu menilai tindak balas sistem pertahanan udara, kebolehkesanan dron serta prestasi sistem berkenaan. Oleh itu, pengambilalihan kawalan dron dan pendaratannya secara selamat memberikan peluang risikan untuk meneliti kelengkapan serta kaedah operasi yang digunakan pihak lawan, menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA-IRNA

Must Watch Video

Advertisement