PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) tidak akan menghentikan operasi penguatkuasaan terhadap warga asing yang melanggar undang-undang imigresen, termasuk di kawasan penempatan yang didakwa membentuk koloni serta premis perniagaan yang menjadi tumpuan mereka.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat di seluruh negara, susulan peningkatan kes tangkapan dan operasi yang dilaksanakan sepanjang tahun ini.
Beliau berkata tindakan penguatkuasaan tidak tertumpu kepada kawasan penempatan warga asing semata-mata, sebaliknya turut melibatkan kegiatan sindiket penipuan dalam talian dan aktiviti perniagaan yang melanggar undang-undang imigresen.
“Kita tidak akan berhenti pada satu noktah. Selagi sesuatu kegiatan itu berada dalam bidang kuasa Jabatan Imigresen Malaysia, kita akan terus melaksanakan penguatkuasaan.
“Tidak kira sama ada melibatkan penempatan, sindiket penipuan dalam talian ataupun aktiviti perniagaan, kita akan terus mempergiat operasi. Tahun ini boleh dikatakan hampir setiap hari ada tangkapan dan operasi yang dilaksanakan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu kewujudan koloni warga asing, termasuk di kawasan yang menjadi tumpuan aktiviti perniagaan.
Mengulas mengenai lokasi yang kini berada dalam radar JIM, Zakaria berkata maklumat berkenaan tidak boleh didedahkan bagi mengelakkan operasi penguatkuasaan terjejas.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menularkan maklumat mengenai kegiatan warga asing yang disyaki melanggar undang-undang, sebelum menyalurkannya kepada pihak berkuasa.
Zakaria berkata tindakan menularkan maklumat berkenaan, berisiko menyebabkan individu yang disasarkan melarikan diri, sekali gus menyukarkan tindakan penguatkuasaan serta membuka ruang kepada penghapusan bahan bukti.
Beliau merujuk kepada kejadian di Janda Baik yang mendapat perhatian media, sebagai contoh bagaimana pendedahan awal boleh menjejaskan tindakan pihak berkuasa.
“Apabila perkara itu tular dalam media, kita pergi ke lokasi tetapi sudah kosong. Sebab itu kita menyeru masyarakat supaya menyalurkan maklumat secara senyap kepada Jabatan Imigresen.
“Jangan buat hebahan atau tularkan dahulu kerana apabila kita sampai, mereka mungkin sudah tiada... ada kemungkinan juga bukti sudah dihapuskan,” katanya.
Beliau berkata kerjasama masyarakat amat penting, bagi memastikan setiap maklumat yang diterima dapat disusuli tindakan penguatkuasaan secara berkesan.
Terdahulu, Zakaria turut melancarkan sambutan Hari Sukan Negara peringkat JIM sebagai usaha membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan warga kerja.
Beliau berkata aktiviti fizikal secara konsisten mampu membantu mengaktifkan fungsi badan dan menyokong kesihatan secara menyeluruh.
Pada masa yang sama, beliau juga berharap agar program seumpama itu, mampu menjadi titik permulaan kepada pelaksanaan lebih banyak aktiviti yang menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan warga jabatan.
-- BERNAMA