PUTRAJAYA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) memperkukuh keupayaan penguatkuasaan dan keselamatan perairan negara menerusi peruntukan RM1.088 bilion bagi pelaksanaan 16 projek pembangunan pada 2027.
APMM dalam kenyataan hari ini memaklumkan peruntukan di bawah Rolling Plan 2 Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) itu merangkumi pembangunan infrastruktur, pemodenan aset, sistem dan peralatan operasi serta kerja penyelenggaraan dan pembaikan kapal serta bot.
Menurut agensi itu, usaha pemodenan aset agensi turut menunjukkan perkembangan positif apabila pembinaan dua kapal Misi Pengawasan Maritim (MPMS) mendahului jadual yang ditetapkan.
“Kemajuan pembinaan MPMS 1 mencapai 85 peratus dan MPMS 2 sebanyak 34.05 peratus, mendahului jadual yang ditetapkan. MPMS 1 dijangka tiba di Malaysia pada awal 2027 dan dirancang menyertai Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2027,” menurut kenyataan itu.
APMM memaklumkan helikopter AW189 pertama yang diterima pada 13 Ogos adalah sebahagian daripada perolehan empat helikopter bagi memperkukuh keupayaan penguatkuasaan, pengawasan, operasi mencari dan menyelamat (SAR), pemindahan perubatan kecemasan (MEDEVAC) serta operasi khas.
“Kehadiran kapal KM Bendahara pula dijangka memperkukuh penugasan agensi, khususnya di perairan Sabah dan Laut China Selatan,” menurut kenyataan itu.
Dalam perkembangan lain, APMM memaklumkan pesawat amfibia Bombardier CL-415MP mencatatkan pencapaian membanggakan apabila merekodkan 10,000 jam penerbangan sejak mula berkhidmat pada 23 Jan 2009.
Pencapaian pesawat bernombor pendaftaran M71-01 (MSN 2068) itu mendapat pengiktirafan daripada De Havilland dan menjadi antara sorotan Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri pada hari ini.
“Pesawat yang dikendalikan oleh Skuadron Amphibious, Stesen Udara Maritim Subang itu menyokong misi pengawasan maritim, SAR, pemadaman kebakaran dari udara serta bantuan kemanusiaan,” menurut kenyataan itu.
APMM memaklumkan antara operasi berprofil tinggi yang pernah disertainya ialah Operasi Daulat di Lahad Datu pada 2013, pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 dan kapal tangki Orkim Harmony serta misi pemadaman kebakaran dan bantuan kemanusiaan di Sumatera Selatan, Indonesia pada 2015.
-- BERNAMA