BENGALURU: India pada Isnin mencatatkan pertambahan kes jangkitan baharu COVID-19 paling teruk dalam sehari sejak 11 Oktober lalu, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di negara itu melepasi angka 12 juta orang.

Sejumlah 68,020 kes koronavirus baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu, ujar Kementerian Kesihatan.

Dengan rekod 12.04 juta kes positif COVID-19, India menjadi negara paling banyak dijangkiti selepas Amerika Syarikat dan Brazil. Pada penghujung September lalu, jumlah kes positif menunjukkan pengurangan namun, lebih banyak aktiviti perkumpulan awam dan kelonggaran pergerakan melonjakkan semula jangkitan memandangkan majoriti rakyatnya masih belum divaksinasi.

Selama tiga hari berturut-turut, India menunjukkan kenaikan kes jangkitan baharu iaitu melebihi 60,000 kes sehari, meskipun angka terkini pada Isnin masih di bawah paras kemuncak pada September iaitu lebih 90,000 kes sehari.

Negeri Maharashtra paling teruk mencatatkan jangkitan baharu, dan pihak berkuasa sedang mempertimbangkan undang-undang larangan pergerakan yang lebih tegas minggu ini. Buat masa ini, larangan pergerakan sudah mula diketatkan manakala perintah berkurung pada waktu malam dikuatkuasakan bagi menangani ancaman virus korona.

Angka kematian harian bertambah kepada 291 pada Isnin dan virus itu sudahpun membunuh 161,843 orang di negara itu.

BACA: Kes jangkitan melonjak di India, ikon kriket Sachin Tendulkar positif COVID-19