Skip to main content

Malaysia

Penyu belimbing kembali mendarat, bertelur di Pantai Rantau Abang

DUNGUN, 13 Sept - Pembantu Am Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (TCIC) Rantau Abang, Mohd Saipul Nizam Hamzah melakukan proses pengeraman telur Penyu Belimbing di TCIC Rantau Abang, hari ini. Hidupan marin tersebut bertelur sebanyak 81 biji awal pagi tadi di Pantai Rantau Abang dan Jabatan Perikanan Negeri Terengganu merekodkan pendaratan Penyu Belimbing pada 1 Sept lalu, selepas kali terakhir spesies ini direkodkan mendarat di Terengganu pada 2017. Pendaratan semula sang penyu ini memberi sinar baharu
Pembantu Am Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (TCIC) Rantau Abang, Mohd Saipul Nizam Hamzah melakukan proses pengeraman telur Penyu Belimbing di TCIC Rantau Abang. - Foto BERNAMA
Advertisement

DUNGUN: Seekor penyu belimbing dikesan mendarat dan bertelur 81 biji di Pantai Rantau Abang di sini awal pagi tadi, menjadi pendaratan kedua spesies itu di Terengganu tahun ini selepas kali pertama direkodkan di Pantai Pasir Putih, Marang pada 1 Sept lepas.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu Pang Nyukang berkata spesies penyu terbesar di dunia itu dipercayai mendarat di pantai tersebut pada 1.30 hingga 2.30 pagi tadi dan sarang telur berkenaan ditemukan pemajak telur penyu pada 4 pagi.

Bagaimanapun, beliau berkata ibu penyu berkenaan telah kembali ke laut selepas selesai bertelur dan tidak lagi berada di lokasi ketika sarang telur ditemukan.

"Jabatan Perikanan tidak menolak kemungkinan penyu belimbing yang mendarat merupakan ibu penyu sama yang mendarat dan bertelur di Pantai Pasir Putih, Marang kira-kira dua minggu lepas," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, saiz jejak ‘Raja Penyu’ yang mendarat itu berukuran 2.20 meter (m) manakala saiz telur pula lima sentimeter (cm).

Pang berkata telur penyu berkenaan telah diserahkan kepada Jabatan Perikanan untuk dieramkan di Hatcheri Pusat Konservasi Penyu di Rantau Abang.

"Telur penyu yang dieram itu dijangka menetas dalam tempoh 50 hingga 70 hari daripada hari ini," katanya sambil memberitahu ibu penyu tersebut dijangka kembali ke jajaran Pantai Rantau Abang untuk bertelur buat kali ketiga dalam tempoh dua minggu lagi.

Bernama sebelum ini melaporkan seekor penyu belimbing mendarat di Pantai Pasir Putih pada malam 1 Sept lepas dan bertelur sebanyak 44 biji.

Pendaratan terakhir reptilia marin itu di pantai Terengganu dilaporkan pada 2017.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement