Skip to main content

Malaysia

Surat, dokumen guna nama JAS tanpa saluran rasmi adalah tidak sah

Jabatan Alam Sekitar (JAS) Logo -- FB Jabatan Alam Sekitar
JAS menafikan sekeras-kerasnya sebarang keterlibatan jabatan dan pegawainya dalam urusan tempahan, pembelian, pelantikan vendor atau apa-apa transaksi perolehan yang dibuat oleh mana-mana pihak menggunakan nama, jawatan atau identiti pegawai jabatan.
Advertisement

PUTRAJAYA: Jabatan Alam Sekitar (JAS) menegaskan sebarang surat atau dokumen yang menggunakan nama, jawatan atau maklumat pegawainya bagi urusan rasmi tetapi tidak dikeluarkan melalui saluran dan prosedur rasmi yang ditetapkan adalah tidak sah serta tidak diiktiraf sebagai dokumen rasmi jabatan.

JAS menjelaskan ini susulan pelbagai isu yang tular di media sosial dan laporan media mengenai penyalahgunaan nama jabatan serta nama dan maklumat pegawainya bagi tujuan tempahan dan urusan perolehan, termasuk kes yang dilaporkan berlaku di Kuala Lumpur.

"JAS tidak membenarkan sebarang penggunaan nama, jawatan atau maklumat pegawai jabatan tanpa kebenaran kerana boleh mengelirukan orang awam dan pihak berkepentingan serta menjejaskan kredibiliti dan integriti jabatan," menurut JAS dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, JAS menafikan sekeras-kerasnya sebarang keterlibatan jabatan dan pegawainya dalam urusan tempahan, pembelian, pelantikan vendor atau apa-apa transaksi perolehan yang dibuat oleh mana-mana pihak menggunakan nama, jawatan atau identiti pegawai jabatan.

Menurut kenyataan itu, JAS memandang serius perkara berkenaan dan telah membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan oleh pihak berkuasa.

JAS memaklumkan pihaknya akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi membantu siasatan dan memastikan perkara itu ditangani mengikut undang-undang yang berkuat kuasa.

"Segala urusan rasmi jabatan, termasuk urusan perolehan dan pelantikan vendor, hendaklah dilaksanakan mengikut tatacara, prosedur dan saluran rasmi yang ditetapkan.

"Mana-mana pihak yang mempunyai keraguan mengenai kesahihan sesuatu surat atau dokumen yang menggunakan nama JAS dinasihatkan mendapatkan pengesahan terus daripada jabatan melalui saluran rasmi," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement