HOUSTON: Cornell University pada Selasa mengumumkan semua parti anjuran persatuan mahasiswa lelaki akan dilarang bagi baki tahun akademik ini susulan kes rogol berkumpulan berprofil tinggi yang terus menggemparkan kampus universiti itu di utara negeri New York, lapor Anadolu Ajansi.
"Semua parti dan acara sosial di rumah persatuan mahasiswa lelaki yang bernaung di bawah Interfraternity Council (IFC) di Cornell University akan digantung sepanjang baki tahun akademik 2026-2027," kata Presiden universiti itu, Michael Kotlikoff dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan bahawa pihak universiti tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang pelanggaran dasar baharu itu.
"Langkah ini akan memberi masa untuk menjalankan penilaian menyeluruh terhadap kegiatan persatuan mahasiswa lelaki di Cornell University bagi menentukan sama ada kegiatan itu boleh diteruskan dengan selamat dan bagaimana pelaksanaannya," kata Kotlikoff.
Langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha menyeluruh universiti untuk melaksanakan perubahan besar dalam menangani budaya rogol dan serangan seksual yang semakin berleluasa di kampus universiti Ivy League itu, yang menurut universiti berkenaan turut melibatkan penggunaan dadah dan alkohol.
Kotlikoff berkata polis kampus akan mengupah penyiasat jenayah berpengalaman yang memahami trauma mangsa dan tidak mempunyai kaitan dengan Cornell University untuk menyiasat dakwaan serangan seksual serta menyediakan ringkasan siasatan menyeluruh untuk agensi penguatkuasaan undang-undang yang berkaitan.
Thomas Giuffra, peguam yang mewakili Jane Doe, nama samaran yang digunakan bagi melindungi identiti mangsa dalam saman sivil terhadap tujuh anggota persatuan mahasiswa lelaki Chi Phi di Cornell yang didakwa merogolnya secara berkumpulan pada 2024, berkata anak guamnya menyambut baik langkah universiti itu, namun tindakan berkenaan sudah terlambat untuk melindunginya.
"Bagaimanapun, langkah ini diharap dapat membantu memastikan tiada lagi mangsa seperti Jane Doe,” katanya dalam wawancara dengan New York Post.
Dalam saman itu, Doe mendakwa beliau dipaksa mengambil dadah jenis ketamin dan meminum alkohol sebelum melakukan hubungan seks atas dasar persetujuan bersama dengan dua daripada tujuh anggota persatuan berkenaan, yang menurutnya kemudian bertukar menjadi rogol berkumpulan tanpa kerelaannya ketika berada di bawah pengaruh dadah.
Doe turut mendakwa Cornell University gagal mengenakan hukuman berat terhadap mana-mana individu yang didakwa merogolnya selepas dua daripada tujuh pelajar berkenaan dibuang universiti dan tiada seorang pun menghadapi pertuduhan jenayah.
-- BERNAMA-ANADOLU