TOKYO: Sebanyak 123 kes serangan ransomware dilaporkan di Jepun dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, mencatat paras tertinggi bagi tempoh enam bulan sejak data sedia ada mula direkodkan pada 2020, menurut Agensi Polis Kebangsaan (NPA) pada Khamis, lapor Xinhua.
Daripada kes yang dilaporkan antara Januari hingga Jun itu, 79 menyasarkan syarikat kecil dan sederhana, 31 melibatkan syarikat besar manakala baki 13 menyasarkan organisasi lain, menurut data NPA.
Proses pemulihan mengambil masa lebih sebulan dalam lebih separuh daripada jumlah kes berkenaan manakala sembilan kes menyebabkan operasi perniagaan terpaksa dihentikan sepenuhnya, menurut NPA.
Sementara itu, jumlah cubaan akses, yang sering dilakukan sebagai persediaan untuk melancarkan serangan siber, meningkat lebih 4,000 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, sekali gus menunjukkan ancaman siber yang semakin serius.
NPA mula mengumpulkan statistik ransomware secara setengah tahun sejak separuh kedua 2020. Dalam serangan ransomware, penyerang menuntut bayaran sebagai pertukaran untuk memulihkan akses kepada data syarikat yang tidak dapat diakses selepas disulitkan.
-- BERNAMA-XINHUA