TORONTO: Bilionair Kanada, Frank Stronach didapati bersalah pada Jumaat atas satu pertuduhan serangan seksual dan satu pertuduhan serangan tidak senonoh, dalam keputusan mahkamah yang menyifatkan sebahagian tindakannya sebagai “melampau dan menjijikkan.”
Stronach ditahan serta didakwa pada 2024 atas pelbagai kesalahan jenayah termasuk serangan seksual dan rogol, membabitkan dakwaan insiden yang berlaku sejak 1970-an hingga 2024.
Ahli perniagaan berusia 93 tahun yang dilahirkan di Austria itu merupakan pengasas syarikat alat ganti automotif Magna International pada 1957 dan kemudiannya menjadi antara individu terkaya di Kanada.
Syarikat tersebut bagaimanapun tidak lagi mempunyai sebarang kaitan dengannya selepas beliau melepaskan kawalan pada 2010.
Perbicaraan yang bermula Februari lalu menyaksikan Mahkamah Tinggi Ontario mendapati Stronach bersalah melakukan serangan seksual terhadap seorang wanita pada awal 1980-an.
Wanita itu mendakwa kejadian berlaku di kondominium milik Stronach di Toronto selepas makan malam berhampiran.
Mahkamah turut mensabitkan beliau atas satu pertuduhan serangan tidak senonoh pada penghujung 1970-an, melibatkan seorang wanita yang mendakwa dirinya dicabul di kondominium berkenaan.
Bagaimanapun, Stronach tidak memberi keterangan sepanjang perbicaraan dan dilepaskan daripada beberapa pertuduhan lain termasuk cubaan rogol dan rogol.
Peguamnya, Leora Shemesh menyatakan, pihak pembelaan berpuas hati apabila pertuduhan yang lebih serius digugurkan, namun meluahkan kekecewaan terhadap sabitan melibatkan dua kesalahan berkenaan, yang disifatkannya sebagai kecil.
Stronach dijangka dijatuhi hukuman pada tarikh akan datang dan masih berdepan satu lagi perbicaraan kes serangan seksual tahun depan. - Agensi